Jenayah Orang Ketiga: Aduan ‘Perosak’ Rumah Tangga
Tahukah anda, terdapat undang-undang syariah bagi “orang ketiga dalam perkahwinan” atau “gangguan pihak ketiga” di mana kita boleh membuat aduan sekiranya menjadi mangsa.
Kesalahan tersebut diletak di bawah ENAKMEN 11 TAHUN 2013 – ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 2013 (BAHAGIAN V – KESALAHAN PELBAGAI).
Ia menyebutkan bahawa:
Mana-mana orang yang mengganggu rumah tangga orang lain dengan apa-apa cara dan mempengaruhinya supaya mengabaikan tanggungjawab rumah tangga sedia ada melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan lelaki atau perempuan itu supaya kembali kepada isteri atau suaminya.
Mungkin ramai lagi yang tak tahu tentang akta tersebut.
Jadi, ingin dijelaskan di sini, jika ada orang ketiga yang cuba mengganggu rumah tangga anda, sebagai suami / isteri / adik beradik / kawan / kawan sekerja / jiran/ kenalan, anda perlu segera pergi ke mahkamah dan maklumkan hal ini.
Seterusnya anda boleh saman pihak ketiga yang cuba mengganggu rumah tangga anda / kawan anda / sesiapa yang anda kenal.
Siapakah Orang Ketiga?
Menurut Pensyarah Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS, orang ketiga boleh jadi sesiapa sahaja sama ada orang yang dikenali atau tidak.
- Boleh jadi melibatkan ahli keluarga sendiri sama ada ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar duai, sepupu sepapat, anak kandung, anak tiri dan sebagainya.
- Boleh jadi juga bekas kekasih suami atau isteri.
- Barangkali juga melibatkan kekasih gelap suami atau isteri.
- Mungkin juga melibatkan orang luar seperti jiran, rakan sekerja, alumni sekolah, majikan dan sebagainya.
Dalam posting terkini oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), juga menerangkan bahawa mereka yang menganggu keharmonian rumahtangga orang lain boleh dipenjarakan atau didenda oleh Mahkamah Syariah.
Sila rujuk infografik di bawah:
Baca juga: Cara Kira & Bayar Fidyah Online Jika Lambat Ganti Puasa (2020/2021)
ENAKMEN 9 TAHUN 1995
ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995
BAHAGIAN V – KESALAHAN PELBAGAI
Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami.
Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya.
Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.
Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Cara Buat Aduan
Sekiranya anda menjadi mangsa orang ketiga dan ingin membuat aduan, anda boleh kemukakannya melalui langkah berikut:
- Membuat aduan di Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, jabatan agama Islam negeri yang berdekatan.
- Menjelaskan bentuk gangguan atau hubungan pasangan dengan orang ketiga dan kesannya terhadap rumah tangga.
- Mengemukakan bukti kukuh dalam bentuk dokumen atau saksi mengenai gangguan orang ketiga.
- Aduan yang dibuat oleh mangsa akan disiasat secara terperinci oleh Pegawai Penguatkuasa dan jika ada bukti kes akan didakwa di Mahkamah Syariah.
- Jika disabitkan bersalah, orang ketiga tersebut akan dikenakan hukuman yang telah ditetapkan dalam undang-undang berkaitan
P/S: Bersama kita sebarkan dan kongsi info penting ini terutamanya kepada para isteri, suami dan saudara mara, adik beradik dan sahabat-sahabat.
Baca juga: Dato’ Palsu Makin Ramai, Ini Cara Semakan Penerima Darjah Kebesaran
Jom Cakna Undang-undang!
*Sumber: