Inisiatif CERDIK: Semak Kelayakan Bantuan Peranti / Laptop Pelajar B40

Menurut sebuah kenyataan rasmi oleh Yayasan Hasanah pada Januari lalu, bantuan laptop dan tablet data internet akan diedarkan kepada para pelajar sekolah yang layak, khususnya B40 melalui inisiatif CERDIK mulai Februari ini.

Terkini, laman web cerdik.org telah boleh dilayari oleh para pengguna untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif ini.

Baca juga: Bantuan Laptop Pelajar & Data Internet Mulai Februari Ini – Yayasan Hasanah

Bagi yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut bantuan ini, di sini kami kongsikan maklumat lanjut tentang inisiatif CERDIK.

Apakah Inisiatif CERDIK?

CERDIK merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bertujuan untuk menyediakan akses digital yang terdiri daripada komputer riba, tablet, dan sambungan data bernilai RM150 juta kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

inisiatif cerdik bantuan laptop kpm

Syarat Kelayakan Inisiatif Cerdik 2021

Semua murid yang berkelayakan dari kohort terpilih di sekolah-sekolah terpilih akan dibekalkan dengan peranti digital. 

Berikut adalah kriteria bagi murid:

  • Golongan terpinggir (B40, ibu bapa tunggal, keperluan khas, Orang Asli)
  • Dari isi rumah dengan pendapatan ≤ RM4,849/bulan
  • Tidak mempunyai akses terhadap pembelajaran atas talian

Sekolah : Pemilihan sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berdasarkan pendapatan isi rumah dan tahap akademik murid. Sekolah-sekolah tersebut haruslah berada dalam kawasan yang mempunyai capaian internet sedia ada, serta berada dalam lingkungan jarak yang wajar antara satu sama lain bagi memudahkan pelaksanaan program dan penyaluran khidmat sokongan.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada anak saya layak menerima peranti ini?

Peranti akan dibekalkan secara berperingkat mulai Februari 2021 dan murid akan dimaklumkan seminggu sebelum tarikh penerimaan. 

Anak saya adalah murid yang layak dan tidak ada dalam senarai. Bagaimana saya boleh memohon untuk menyertai program ini?

CERDIK merupakan suatu inisiatif rintis bagi sekolah-sekolah yang disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Oleh itu, bekalan peranti akan disalurkan kepada pihak sekolah, dan bukannya melalui permohonan.

Anak saya memerlukan komputer riba. Bagaimana saya boleh memohon?

CERDIK merupakan projek rintis e-learning di mana peranti akan diedarkan kepada murid-murid dari kohort terpilih di sekolah-sekolah terpilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan bukannya melalui proses permohonan. Murid yang layak serta ibu bapa mereka akan dimaklumkan sebelum tarikh pengagihan.

Jenis Peranti Yang Akan Dibekalkan

Sekolah terpilih akan menerima komputer riba (i3 atau setara) atau iPad. Peranti ini akan dibekalkan dengan tempoh jaminan sekurang-kurangnya 12 bulan.

Peranti akan dibekalkan dengan sambungan rangkaian 3G/4G bersama data sebanyak 15GB/bulan untuk tempoh minimum 12 bulan.

Peranti ini juga akan menjadi hak milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tarikh Pemberian Peranti

Peranti akan mula diedarkan ke sekolah mulai Februari 2021, dan penghantaran akan diteruskan sepanjang tahun.

Murid akan dimaklumkan seminggu sebelum tarikh penerimaan.

Prosedur bagi pinjaman peranti di bawah inisiatif CERDIK adalah mirip kepada Skim Pinjaman Buku Teks. Pakej peranti dan sambungan data akan disumbangkan kepada sekolah yang bertanggungjawab menguruskan pinjaman kepada murid yang layak.

Baca juga: Bantuan Telefon Pintar 2021 & Data Percuma Untuk B40 – YTL Foundation

Ciri Keselamatan Internet Yang Akan Dipasang Pada Peranti

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memasang perisian Pengurusan Peranti Mudah Alih pada setiap peranti untuk memastikan penggunaan secara berhemah dan bertanggungjawab. Perisian ini akan menyekat akses ke laman web yang disenarai hitam dan membolehkan KPM memantau pembelajaran.

Penalti sebanyak RM300 akan dikenakan sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan. Ini adalah untuk mendorong penggunaan peranti yang betul.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut dan info terkini tentang inisiatif Cerdik ini, sila ajukan pertanyaan anda kepada Yayasan Hasanah melalui saluran berikut:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: