Kos Haji 2023 & Bantuan Kewangan Bayaran Haji B40, M40 & T20
Kos Haji 2023 & Bantuan Kewangan Bayaran Haji B40, M40 & T20
Bermula hari Rabu, 22 Mac 2023, surat tawaran untuk mengerjakan haji kepada 31,600 jemaah haji akan dikeluarkan secara berperingkat dan bakal haji terpilih boleh menyemak tawaran haji melalui aplikasi THiJARI.
Sehubungan dengan itu, kos bayaran haji juga telah diumumkan oleh Tabung Haji pada 20 Mac 2023 dan bantuan Kewangan Haji bagi tahun 1444 H / 2023 ini diberikan secara bersasar mengikut kategori B40, dan M40.
Mari teruskan membaca.
BACA JUGA: Cara Semak Penyata Tabung Haji (TH) Online
Apakah Kos Haji & Bayaran Haji?
Kos haji merujuk kepada semua bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan untuk seseorang itu ke Tanah Suci bagi menunaikan haji
Kos langsung Jemaah Muassasah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Mekah dan Madinah, kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi.
Manakala, bayaran haji merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan sebagai bayaran seorang jemaah haji kepada Tabung Haji Malaysia untuk membolehkannya menunaikan haji bagi sesuatu tahun.
Kos Haji 2023 Untuk B40, M40 dan T20
Kos Haji bagi seorang jemaah Muassasah dianggarkan meningkat kepada RM30,850 pada tahun ini berbanding RM28,632 pada tahun lepas. Untuk meringankan beban rakyat Malaysia, jemaah haji akan bakal berangkat mendapat bantuan kewangan mengikut kategori bersasar.
Bantuan Kewangan Haji bersasar telah dilaksanakan oleh TH tahun ini bagi mengurangkan beban kewangan TH agar dapat mencapai matlamat utamanya menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini menyimpan wang untuk tujuan mengerjakan ibadah haji di samping menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan demi kebajikan jemaah haji Malaysia.
Sehubungan dengan itu, walaupun terdapat kenaikan Bayaran Haji pada tahun ini, kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) sejumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada Kos Haji manakala kumpulan M40 akan menerima bantuan sejumlah RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada Kos Haji.
Manakala bayaran penuh Kos Haji iaitu RM30,850 seorang ditetapkan bagi kumpulan T20. Mereka yang merayu luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah juga perlu membayar penuh Kos Haji sebanyak RM30,850 seorang, melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah atau rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang telah terpilih menunaikan haji.
Anda boleh rujuk bayaran haji bagi Musim Haji 1444H/2023M untuk jemaah haji Muassasah mengikut kategori seperti gambar berikut:
Kos Yang Ditanggung TH
TH masih terus menanggung kos-kos tidak langsung bagi Jemaah Haji Malaysia secara percuma seperti:
- Penerbitan buku dan risalah panduan haji,
- Kursus-kursus haji,
- Petugas haji kebajikan dan perubatan,
- Kos berkaitan operasi haji di tanah air;
- Perkhidmatan tambah nilai yang disediakan untuk Jemaah Haji Malaysia; dan
- Ubat-ubatan.
- Bakal haji yang telah terpilih pada tahun semasa adalah layak membuat pengeluaran wang di KWSP. Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan Bayaran Haji (Muassasah).
Syarat Pengeluaran KWSP Untuk Pergi Haji
Had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP adalah sebanyak RM3,000 sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-
- Ahli KWSP
- Mengemukakan surat tawaran haji ke pejabat KWSP
- Mengemukakan Penyata Simpanan TH ke pejabat KWSP
- Berumur kurang 55 tahun
BACA JUGA: Cara Buka Akaun Tabung Haji Untuk Anak / Bayi Secara Online, 5 Minit Je!
Maklumat Lanjut & Pertanyaan
Sekiranya anda ingin mengetahui maklumat terkini dan perincian lebih lanjut tentang kos haji yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH), sila rujuk laman web Tabung Haji di pautan berikut: https://www.tabunghaji.gov.my/ms/haji/kos-haji-dan-bayaran