i-Saraan KWSP : Cara Pendaftaran Online & Manfaat

i-Saraan KWSP

Kerajaan terus membantu rakyat menerusi melalui inisiatif seperti i-Saraan, yang telah diluaskan kepada mereka yang berumur 55-60 tahun, memanfaatkan seramai 100,000 pekerja.

Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan) membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.

Melalui simpanan dengan i Saraan, anda berpeluang menerima insentif khas sebanyak 15% atau maksimum RM250 setahun daripada jumlah simpanan anda.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang skim i-Saraan KWSP:

Apakah i-Saraan KWSP?

Bertujuan menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan, iSaraan diwujudkan oleh KWSP untuk

  1. Menyediakan saluran untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap menabung bagi tujuan persaraan.
  2. Meningkatkan jumlah orang yang bekerja sendiri menabung dengan KWSP
  3. Menzahirkan keprihatinan Kerajaan kepada orang yang bekerja sendiri melalui pemberian insentif untuk menabung bagi persaraan mereka.
  4. Mengurangkan jumlah warga tua yang bergantung kepada peruntukan program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebagai ahli di bawah insentif ini, anda akan menerima sumbangan Kerajaan sebanyak 15% (jumlah maksimum sebanyak RM250/setahun [berkuatkuasa 1 Januari 2018]) ke atas caruman anda.

*Tidak termaktub kepada ahli yang menerima caruman tetap majikan.
*Sumbangan kerajaan adalah terhad kepada ahli yang berumur bawah 60 tahun.

Faedah i-Saraan

  1. Menyediakan saluran persaraan untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap
  2. Mencarum mengikut masa dan kemampuan kewangan anda serta anda masih boleh membuat pengeluaran
  3. Menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan anda
  4. Menerima insentif khas sebanyak 15% tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun bagi ahli yang berumur kurang 60 tahun. Insentif khas ini diberikan dari tahun 2018 sehingga 2022.
  5. Bantuan Kematian: RM2,500
  6. * tertakluk kepada terma dan syarat KWSP  
i-saraan kwsp

Baca juga:

Kelayakan i-Saraan

Syarat Kelayakan

  1. Warganegara Malaysia
  2. Berumur 60 tahun ke bawah
  3. Ahli KWSP
  4. Telah membuat pilihan i-Saraan (Menghantar borang KWSP 16G(M))
  5. Orang yang bekerja sendiri* (Orang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan hasil dan bukannya seorang pekerja)

*Contoh orang yang bekerja sendiri:

  • Petani/ nelayan/ pemandu teksi
  • Peniaga kecil/ penjaja/ peniaga pasar malam/ peniaga uptown
  • Pengasuh bayi
  • Ejen menerima komisen (cth: ejen insurans, ejen hartanah)
  • Freelancer (cth: menerima bayaran selepas memberi perkhidmatan sebagai deejay, penyanyi, pelakon, jurulatih kesihatan, perunding)
  • Pemilik perniagaan (pemilik tunggal/rakan kongsi) yang membeli dan menjual barangan/perkhidmatan
  • Pemilik perniagaan dalam talian (online business)
  • Pemilik praktis sendiri (cth: akauntan, doktor, peguam)
  • Suri rumah
  • Pekerja Berpencen

Had Bayaran / Caruman i-Saraan KWSP

  • Minimum : Tiada
  • Maksimum : RM60,000 setahun untuk semua Caruman Sukarela
  • (Caruman Pilihan Sendiri, i-Saraan, Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP, Caruman Simpanan Tambahan – berkuat kuasa Januari 2013)

Cara Permohonan / Pendaftaran i-Saraan KWSP

Permohonan boleh dibuat secara atas talian atau secara manual di mana-mana cawangan KWSP.

Untuk permohonan online, sila isikan borang di pautan berikut: https://online.kwsp.gov.my/isaraanReg/?lang=ms

Cara Pengkreditan Insentif

KWSP akan membuat tuntutan sumbangan Kerajaan secara berkala berdasarkan caruman bagi separuh tahun tempoh pertama (Januari hingga Jun) dan separuh tahun tempoh kedua (Julai hingga Disember) setiap tahun.

Wang sumbangan akan dikreditkan ke akaun ahli selepas KWSP menerimanya daripada Kerajaan.

Sumbangan ini akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 ahli (Akaun Persaraan).

i-saraan kwsp

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Skim i-Saraan KWSP, sila rujuk pautan berikut:

https://www.kwsp.gov.my/ms/member/contribution/i-saraan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: