GoPro Hero 10 Black Kini Dilancarkan Dengan Spesifikasi Terbaharu. Lagi Canggih!

Seperti dijangka sebelum ini GoPro dengan Siri model GoPro Hero telah melancarkan secara rasminya siri terbaharunya iaitu GoPro Hero 10 Black sebentar tadi.

Model terbaharu ini dilengkapi sensor sebesar 23MP yang mampu merakam video sehingga resolusi 5.3K 60FPS atau 4K 120FPS. Selain itu model ini dapat merakam 1080 video pada 270FPS untuk menghasilkan video gerakan perlahan.

Sistem penstabilan dinaik taraf kepada HyperSmooth 4.0 bagi memastikan video aksi yang dirakam adalah stabil.

Menurut GoPro sistem HyperSmooth 4.0 ini mampu menstabilkan imej walaupun ketika keadaan kamera disendengkan sehingga 45 darjah yang merupakan peningkatan dari sehingga 27 darjah pada sistem HyperSmooth sebelum ini.

GoPro juga menaik taraf cip pemprosesan imej  GP2 yang digunakan untuk model ini supaya ianya mampu menawarkan mod rakaman video lebih tinggi dalam masa yang sama kamera beroperasi lancar.

Cip pemprosesan baharu ini juga dikatakan mampu menghasilkan gambar pegun dengan resolusi lebih tinggi dari video yang dirakam.

GoPro Hero 10 Black juga menyokong penstriman langsung sehingga resolusi 1080P.

Antara muka (interface) juga lebih pantas daripada sebelum ini, kemampuan kalis air sehingga kedalaman 10 meter, waktu mula lebih pendek, dan menu di skrin lebih responsif selain boleh mengawal menggunakan arahan suara.

Dari pandangan fizikalnya, badan, skrin, lensa, dan sensor gambar tidak berubah tetapi beratnya sedikit lebih ringan sebanyak 3 peratus daripada model sebelum ini.

GoPro menyatakan pemindahan data dari kamera ke telefon pintar juga lebih pantas sehingga 30%. Selain itu, ia turut menawarkan perkhidmatan menyimpan video ke awanan ketika kamera sedang dicaj. Namun anda akan dicaj yuran bulanan sebanyak $5 atau $50 setahun.

Berita baik adalah kesemua aksesori dari model terdahulu masih boleh digunakan semula pada Hero10 Black. Jadi anda hanya perlu menaik taraf kamera sahaja di mana harga GoPro Hero10 Black dijual pada harga $499 (~RM2075) sebuah.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: