Kemaskini: Orang Ramai Boleh Rakam Video Ketika Terima Vaksin – KJ
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kebenaran diberikan kepada orang ramai untuk membuat rakaman video sewaktu menerima suntikan vaksin Covid-19.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy berkata, ia sebagai bukti sekiranya terdapat sebarang isu.
“Ia (rakaman video) adalah kebenaran daripada saya dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba,” katanya.
Beliau berkata, penerima vaksin turut disaran melihat jarum ketika proses suntikan dilakukan selain jururawat perlu menunjukkan picagari yang mempunyai cecair vaksin kepada penerima.
“Saya harap ia berakhir di sini kerana kita tidak mahu petugas kesihatan terganggu dengan isu ini sejak dua, tiga hari kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap isu suntikan kosong yang tular di media sosial.
Baru-baru ini, seorang individu mendakwa dia disuntik dengan picagari kosong oleh petugas selepas menonton semula rakaman video semasa proses suntikan berlaku.
Sumber: Sinar Harian via Mstar