Doktor Kongsi 5 Cara Hilangkan Pijar Cili Pada Tangan Dengan Selamat

TIPS / PETUA / CARA HILANGKAN PIJAR CILI PADA TANGAN DAN KULIT

Pernah tak kena rasa pijar cili di tangan?

Kadang-kadang kita ingatkan sekejap saja, rupanya ada sesetengah kes tu, lama betul nak tunggu dia ok semula!

Apa yang anda akan buat kalau terkena pijar cili ni? Basuh dengan air biasa atau buat cara lain?

Bukan apa, mungkin ada yang takut nak cuba petua-petua tertentu – mana tahu kalau jadi lebih teruk kan?

Jangan risau, di sini kami kongsikan 5 petua dan cara hilangkan pijar cili yang disarankan oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan. Tentunya selamat dan berkesan menurut kajian saintifik.

5 Petua Hilangkan Pijar Cili Di Tangan / Kulit

hilangkan pijar cili
Gambar hiasan

“Doktor, tangan saya pijar! Macam mana nak hilangkan? Seksa, doktor!”

Kadang-kadang, ada pesakit datang ke klinik sebab tangan dia pijar selepas dia menyambal. Kesilapan utama yang dilakukan oleh ramai orang adalah, mencuci dengan air sahaja.

Tangan kita pijar selepas pegang cili adalah kerana cili mengandungi capsaicin. Sebatian ini, akan merangsang reseptor deria sakit. Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas.

Capsaicin ni, ia tak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin ni sukar nak tanggal dari kulit kita. Capsaicin ni larut dalam minyak/lemak.

Oleh itu, kita gunakan:

#PETUA 1 : SUSU

SUSU: susu berlemak dan mengandungi sejenis protin dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.

hilangkan pijar cili

#PETUA 2 : MINYAK

MINYAK: jika nak cuci tangan guna susu, rasa macam membazir pula. Jadi kita boleh gunakan minyak. Minyak akan mencairkan capsaicin. Selepas itu perlu juga bilas dengan air sabun.

hilangkan pijar cili

#PETUA 3: CUKA

CUKA: capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau, atau sos tomato.

#PETUA 4: ALKOHOL

ALKOHOL: capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol. Jadi boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Kena gunakan banyak.

Baca juga:

#PETUA 5: LOSYEN

LOSYEN: gunakan losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi.

#PETUA TAMBAHAN

Selain mencuci gunakan bahan-bahan tertentu, capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran. Maknanya kena gosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa.

Mudah kan? Semua bahan ini juga kebanyakannya dah tersedia ada di setiap rumah.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: