Khasiat Biji Kembang Semangkuk, Boleh Legakan Batuk & Demam
Pernah tak dengar tentang biji kembang semangkuk? Mungkin ramai yang cakap tak pernah dengar, tapi sebenarnya kalau yang selalu minum laicikang, terdapat biji kembang semangkuk diletakkan sebagai salah satu ramuan di dalamnya.
Tahukah anda, biji kembang semangkuk ini banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina sebagai penyejuk badan ketika demam / panas. Ia juga digunakan secara turun-temurun untuk merawat masalah berkaitan usus. Selain itu, biji kembang semangkuk ini juga boleh memberi kelegaan kepada ketidakselesaan tekak.
Menarik kan?
Jom kita ketahui lebih lanjut tentang khasiat biji kembang semangkuk ini.
Apakah Biji Kembang Semangkuk?
Kalau anda pergi ke bahagian rempah-ratus, cuba tengok dekat situ ada dijual biji kembang semangkuk atau nama lainnya, Malva Nut.
Saiznya kecil saja apabila diletakkan pada tapak tangan, tapi selepas direndamkan di dalam air selama 1-2 jam, ia akan mengembang hingga 8x ganda! Yang inilah yang kita selalu nampak dalam minuman laicikang.
Teksturnya pula seperti agar-agar, manakala rasanya tawar dan air rendaman tetap berasa seperti air kosong. Jadi, memang mudah dan sesuai untuk kita berikan pada anak-anak yang kurang sihat atau demam sebab rasanya tidak kuat seperti ubat-ubatan.
SEKILAS INFO
Nama Tempatan : Kembang Semangkuk
Nama Saintifik : Scaphium longiflorum. Mempunyai beberapa genetik seperti yang biasanya ialah Scaphium macropodum dan Scaphium lychnophorum.
Nama Lain : Selayar, Thilaung, Samrung, Thibyu, Shaw, Thau-thinbaw (Myanmar), Kembang Semangkok, Kapas-kapasan (Indonesia).
Famili : Sterculiaceae.
Lokasi Biasa Ditemui : Hutan kerana ia adalah tumbuhan liar.
Khasiat & Petua
Doktor perubatan, Dr Mazliana Mazlan, pernah berkongsi bahawa tumbuhan ini mempunyai kandungan bassorin untuk membantu mengurangkan radang pada sel badan.
Kalau anak demam, batuk-batuk atau selesema boleh cuba berikan air rendaman kembang semangkuk. Jadikan sebagai pengganti air putih biasa. Rasanya sama saja dengan air putih. Memang senang sangat diminum begitu sahaja.
Dikatakan minum air rendaman ini juga membantu mencairkan kahak dan mudah nak keluar. InsyaAllah batuk anak pun jadi cepat baik. Apa pun ini hanya ikhtiar, yang memberi izin sembuh tetap Allah.
Selain itu, kalau ada anak yang sembelit, boleh kerap bagi dia air kembang semangkuk sebagai pelawas.
Harganya kalau beli di kedai sangat murah, dalam RM1 pun boleh dapat 1 pek kecil.
Kalau beli ikut gram, dalam RM4.60 untuk 50gram.
Cara Minum
Macam mana nak rendam dan minum airnya?
Mudah sangat.
- Ambil sebiji, rendam dalam satu jag / bekas air biasa. (Tak perlu guna air panas)
- Tunggu sehingga kembang. (Biasanya ambil masa 4-5 jam)
- Sedia untuk diminum.
*Kalau nak buat versi manis / laichikang, boleh campurkan dengan pandan, halia, getah anggur dan kayu manis. Renehkan selama 10 minit bersama gula batu.
Baca juga :