Wanita Cina ‘Review’ Van Jenazah Undang Respon Hangat Dari Netizen

Video ‘review’ atau video ulasan mengenai sesuatu produk di media sosial seperti Tiktok, Facebook dan Instagram sudah menjadi lumrah di zaman teknologi yang serba canggih kini.

Sama ada secara suka-suka berkongsi ilmu atau bertujuan menjual produk, ianya pasti menjadi tumpuan penonton lagi-lagi video yang dibuat adalah di luar jangkaan.

Baru-baru ini tular di TikTok satu video di mana seorang jurujual Toyota telah membuat ulasan mengenai sebuah MPV model Toyota Hiace.

Apa yang menarik perhatian adalah van yang diulas adalah sebuah van model Toyota Hiace yang telah diubah suai menjadi van jenazah dan ianya diulas oleh seorang wanita berbangsa Cina.

Melalui video yang dikongsi, wanita bernama Lisa berkongsi pengubah suaian yang dibuat di van terbabit untuk penggunaan mengangkut jenazah.

Antara yang diulas adalah bumbung van yang telah diubah suai menjadi lebih tinggi, terdapat platform meletakkan keranda dan van yang dilengkapi dengan aksesori lain bagi memudahkan pengurusan jenazah, pemandu dan pembantu.

Video terbabit telah tular dan mendapat reaksi yang hangat kerana rata-rata terkejut melihat ada orang membuat ulasan mengenai sebuah van jenazah buat pertama kalinya.

Rata-rata yang menonton memuji idea dan cara penyampaian dibuat oleh Lisa. Walaupun berbangsa Cina, beliau tetap fasih berbahasa Melayu dan mampu menyampaikan dengan cukup ringkas dan jelas supaya mudah difahami oleh orang ramai.

Pada masa yang sama juga, ramai yang berasa tersentuh apabila Lisa ada mengucapkan — “Suatu hari nanti kita akan naik juga,” ketika membuat ulasan van jenazah tersebut.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: