‘Deltacron’: Varian Baharu Atau Pencemaran Sampel Di Makmal?
Media sosial hari ini dipenuhi dengan perkongsian tentang potensi kemunculan varian baharu COVID-19, gabungan varian Delta dan Omicron yang dikenali sebagai ‘Deltacron’.
Apakah ‘Deltacron’ benar-benar wujud dan apakah simptomnya?
Berikut dikongsikan maklumat terkini yang sahih tentang penemuan varian ini.
Bagaimanakah Varian Deltacron Mula Ditemui?
Menurut laman web Medical News Today, Pada 7 Januari, saintis di Cyprus yang diketuai oleh Dr. Leondios Kostrikis, seorang profesor Sains Biologi di Universiti Cyprus, melaporkan bahawa mereka telah menemui varian baharu SARS-CoV-2.
Varian yang digelar ‘Deltacron’ ini dikatakan hibrid atau gabungan kepada varian sebelum ini iaitu Delta dan Omicron.
Dr. Kostrikis melaporkan bahawa varian itu mempunyai genom seperti Delta dengan ciri Omicron.
Pasukan itu menyatakan bahawa Deltacron telah dikenal pasti dalam 25 individu – ada yang dimasukkan ke hospital dan sebahagian lagi dalam komuniti.
Baca juga: Cepat Letih & Semput Lepas Kena Covid, Dr Kongsi Teknik Pernafasan ‘Deep Breathing’
Perdebatan Tentang Kewujudan Varian Deltacron
Desas-desus tentang penemuan varian Deltacron ini membawa kepada liputan berita yang meluas dan banyak perdebatan di media sosial.
Bagaimanapun, beberapa pakar telah mempersoalkan penemuan itu.
Dr. Jeffrey Barrett, Pengarah Inisiatif Genomik COVID-19 di Institut Wellcome Sanger di United Kingdom, percaya penemuan itu disebabkan oleh kesilapan makmal yang berlaku akibat pencemaran sampel.
Menulis di Twitter, Dr. Tom Peacock, pakar virologi di Imperial College London UK, juga menolak penemuan itu, dengan mengatakan bahawa “jujukan ‘Deltacron’ yang dilaporkan oleh beberapa media besar kelihatan jelas berpunca daripada pencemaran.”
Dalam tweet berasingan, beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pencemaran ini bukan disebabkan oleh pengendalian makmal yang lemah, sebaliknya ia “berlaku pada setiap makmal penjujukan sekali-sekala.”
Sebelum ini beberapa pakar telah menyatakan bahawa jika Deltacron benar-benar varian rekombinan baharu, sampel akan berkumpul pada cabang filogenetik SARS-CoV-2 yang sama.
Namun, Deltacron yang muncul secara rawak di beberapa cabang – dan menurut pakar – ia adalah tanda pencemaran yang pasti.
Bagaimanapun, Dr. Kostrikis mempertahankan penemuannya dengan menegaskan bahawa oleh kerana kadar jangkitan Deltacron lebih tinggi pada pesakit yang dimasukkan ke hospital berbanding individu yang tidak dirawat di hospital, hipotesis pencemaran adalah kurang berkemungkinan.
Di samping itu, sampel yang dikenal pasti sebagai Deltacron telah diproses dalam pelbagai prosedur penjujukan di lebih daripada satu negara, mengurangkan kemungkinan ralat makmal, katanya.
Pasukan Cyprus telah melaporkan 52 kes Deltacron setakat ini. Menteri kesihatan Cyprus juga mempertahankan penemuan itu, mengatakan bahawa hasil penemuan penyelidikan ini membuatkan negara tersebut berbangga dengan saintis mereka.
Dalam sebuah artikel terkini DailyMail bertarikh 10 Mac 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan berkata bahawa kombinasi baru COVID-19 itu telah dikesan di Perancis, Denmark dan Belanda serta ditemui di Amerika Syarikat, menurut laporan baru yang akan diterbitkan di laman penyelidikan MedRxiv.
Namun ia masih terlalu awal untuk orang ramai risau mengenai Deltacron kerana ia hanya dikategorikan sebagai varian sekiranya ia menghasilkan sejumlah besar kes.
Baca juga: PAXLOVID: Ubat Antiviral Merawat Jangkitan COVID-19
Lebih Banyak Kajian Diperlukan
Walau apa pun keputusannya nanti, apa yang perlu kita fahami adalah virus seperti strain SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 boleh berubah dan bermutasi.
Contohnya, mutasi yang menyebabkan varian Delta sebelum ini menyebabkan seseorang lebih cepat menjangkiti orang lain.
Manakala varian Omicron itu pula lebih mudah menular dan didapati menjangkiti semula beberapa pesakit yang sebelum ini mempunyai COVID-19.
“Deltacron telah menarik minat yang besar dalam komuniti saintifik COVID. Sama ada varian baharu yang telah muncul hasil gabungan virus Delta dan Omicron daripada jangkitan serentak pada manusia atau sama ada ia berlaku kerana kemalangan makmal masih perlu ditentukan.”
– Dr William Schaffner
Sumber: Medical News Today , USA Today, DailyMail