(Infografik) Ini Sebabnya Kita Akan Sambut Ramadan 2 Kali Pada 2030
RIYADH: Umat Islam dijangka menyambut bulan Ramadan dua kali dalam satu tahun pada 2030.
Demikian menurut ahli astronomi Arab Saudi Khaled al-Zaqaq.
Menurutnya ini disebabkan kalendar Hijrah Islam berdasarkan kitaran bulan, manakala kalendar Gregorian menandakan laluan bumi mengelilingi matahari, lapor portal Alarabiya News.
Perbezaan antara dua-dua kalendar itu bermakna Ramadan akan jatuh dua kali dalam tahun Gregorian, kira-kira setiap 30 tahun, kata beliau menerusi video disiarkan di akaun Twitter rasminya.
Menukil ahli astronomi itu lagi, laporan Alarabiya News menyatakan, kali terakhir ia berlaku pada 1997 dan sebelum itu pada 1965. Ia dijangka berlaku lagi pada 2063.
“Pada 1451 Hijrah, Ramadan bermula pada 5 Januari 2030 manakala 1452 Hijrah pula jatuh sekitar 26 Disember 2030,” katanya.
Ini bermakna, umat Islam berpuasa 36 hari pada 2030, iaitu bulan penuh 30 hari untuk 1451 Hijrah dan enam hari untuk 1452 Hijrah.
Tahun Hijrah berlangsung 354 atau 355 hari, bermakna ia tidak sejajar dengan kalendar Gregorian sebanyak 365 hari.
Ini juga bermakna Ramadan jatuh dalam musim berbeza setiap tahun dan berjalan dalam kitaran 32 tahun, katanya lagi.
Tambah beliau, Ramadan 1449 Hijrah yang bermula pada 2028 akan berlangsung pada pertengahan musim sejuk.
Pada 1466 Hijrah, bersamaan dengan 2044 pula, bulan suci bermula semasa kemuncak musim panas.
Sumber : Agensi berita/SU/im
Baca juga: