Remaja 14 Tahun Tikam Ibu Dipercayai Alami Gangguan Makhluk Halus
TUMPAT – Seorang remaja yang bertindak di luar jangkaan dengan menikam dada ibunya yang sedang tidur di rumah mereka di Kampung Bukit Yong dekat Pasir Puteh dengan sebilah pisau kelmarin dipercayai mengalami halusinasi.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di daerah tersebut dipercayai diganggu makhluk halus.
Menurutnya, halusinasi yang dialami remaja itu juga menyebabkan dia demam sehingga memerlukan penjagaan ibunya yang berusia 41 tahun sejak dua hari sebelum kejadian tersebut.
“Suspek telah dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk pemeriksaan lanjut. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek negatif sebarang penyalahgunaan dadah.
“Selain itu, polis juga akan mengambil keterangan daripada pihak sekolah dan beberapa rakannya untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini semalam.
Muhamad Zaki memberitahu, siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang wanita parah selepas ditikam anak lelakinya yang dipercayai sedang sakit akibat demam dengan sebilah pisau dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Yong, Pasir Puteh.
Sumber: KOSMO! ONLINE
Ibu parah ditikam anak demam semasa sedang tidur
KOTA BHARU, KELANTAN – Seorang wanita parah selepas ditikam anak lelakinya yang dipercayai sedang sakit akibat demam dengan sebilah pisau dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Yong, Pasir Puteh dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa yang berusia 41 tahun cedera parah pada bahagian dada kirinya dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Datuk Mohd. Nor Yazhid Idris berkata, siasatan awal mendapati, suspek bersama mangsa sedang tidur di dalam sebuah bilik yang sama di rumah mereka.
Menurutnya, semasa sedang tidur, bahagian dada mangsa tiba-tiba terasa sakit sebelum mendapati sebilah pisau tertusuk pada bahagian tersebut.
“Mangsa cuba memanggil suaminya yang tidur di ruang tamu namun, tidak sedarkan diri selepas mengeluarkan sendiri pisau tersebut pada dadanya.
“Siasatan awal mendapati, wanita itu telah ditikam oleh anak lelakinya menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur. Remaja itu dipercayai demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada ibunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Nor Yazhid, suami mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.
Katanya, berdasarkan laporan doktor, kesan tikaman tersebut telah menyebabkan bahagian paru-paru kiri mangsa bocor sehingga mengakibatkan wanita itu kehilangan darah yang banyak sebelum dia dirujuk ke HUSM.
Ujarnya, polis telah menahan remaja tersebut dan akan mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sumber: KOSMO! ONLINE