7 Fakta Tentang Ibu Negara Baru Indonesia ‘Nusantara’
7 Fakta Tentang Ibu Negara Baru Indonesia, Nusantara
Beberapa tahun lepas, Indonesia sudah pun mewar-warkan kepada seluruh dunia tentang ibu negaranya yang bakal diubah lokasi dari Jakarta ke Kalimantan Timur.
Pada 17 Januari 2022, Indonesia mengumumkan bahawa nama rasmi bakal ibu negara baru ini adalah ‘Nusantara’.
Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa dalam sebuah mesyuarat bersama jawantankuasa kerja di Parlimen.
Nama baru ibu negara ini juga telah disahkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo pada 14 Januari lepas.
Berikut merupakan 7 fakta menarik tentang Nusantara yang anda perlu tahu.
1. Nusantara Bakal Jadi Tumpuan Ekonomi
Nusantara juga dilihat sebagai pemangkin bagi ekonomi keseluruhan di samping menggalakkan perkembangan, menjadi lubuk bagi kerjaya profesional pelbagai bidang di samping mengurangkan jurang kemiskinan.
2. Nama Nusantara Diambil dari Istilah Jawa Kuno
Sebelum nama Nusantara dipilih sebagai nama ibu negara baru Indonesia, terdapat kira-kira 80 nama lain yang turut dicadangkan kepada Presiden termasuklah Negara Jaya, Nusantara Jaya dan Nusa Karya.
Nama Nusantara juga dipilih bagi mencerminkan budaya Jawa yang luhur di Indonesia.
Dipetik dari istilah Jawa Kuno yang bermaksud “pulau luar”, ia diharap dapat menjadi ikon Indonesia di peringkat antarabangsa dan terkenal secara meluas oleh segenap masyarakat seluruh dunia.
3. Lokasi Nusantara Dipilih Untuk Bangunkan Kawasan Terpencil
Pada tahun 2019, Presiden Jokowi telah mengumumkan kepada dunia bahawa ibu negaranya akan berpindah dari Jakarta ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara yang terletak di pendalaman Kalimantan Timur.
Selain bagi mengelakkan kesesakan dan tenggelamnya Jakarta, lokasi baharu ini juga dipilih bagi membangunkan daerah Kalimantan serta bahagian Timur Indonesia memandangkan aktiviti ekonomi sudah berkembang pesat di Jawa Tengah di mana terletaknya Jakarta.
4. Lokasi Nusantara Lebih Terlindung Dari Bencana Alam
Lokasi Nusantara yang didiami oleh 900,000 rakyat Indonesia ini juga dipilih sebagai lokasi ibu negara baharu kerana ia adalah antara lokasi yang paling jarang berhadapan dengan bencana alam.
Ia sejajar dengan situasi Indonesia yang memiliki banyak gunung berapi aktif serta sering berhadapan dengan masalah gempa bumi, tsunami dan sebagainya.
5. Nusantara Bakal Jadi Super Hub
Kerajaan Indonesia turut menanam visi agar Nusantara yang berkeluasan 2,000 kilometer ini dapat berkembang sebagai “super hub” berkarbon rendah dan menjadi tumpuan bagi sektor penting seperti kesihatan, farmaseutikal dan teknologi.
6. Pembangunan Nusantara Menelan Kos US$35 billion
Dalam Bajet Negeri 2022, Indonesia memperuntukkan sebanyak US$35 billion atau 466 trillion rupiah.
Projek pembangunan mega ini dijadualkan untuk mula pada tahun 2020 namun akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Indonesia, ia terpaksa ditangguhkan.
7. Istana Dengan Rekaaan Unik Bakal Dibina di Nusantara
Di samping itu, Istana Kepresidenan juga bakal dibina di ibu negara baru dengan rekaan khas oleh pereka terkemuka dari Bali iaitu Nyoman Nuarta.
Rekaan akhir istana turut mendapat kelulusan Presiden Jokowi pada awal bulan ini dan mengambil inspirasi unik daripada burung mitos yang terkenal di Indonesia iaitu burung Garuda.
Bagi merealisasikan projek ini, Jokowi telah menandatangani Peraturan Presiden No. 85 Tahun 2021 mengenai Rancangan Kerja Kerajaan bagi tahun 2022.
Ia merangkumi lapan langkah strategik untuk mempercepatkan transformasi Kalimantan. Ini termasuk mempercepat realisasi pelaburan, mengoptimum pembangunan komoditi dan mengeluarkan sijil pemilikan tanah bagi meningkatkan jaminan pemilikan tanah di lokasi baharu tersebut.
Pembinaan fizikal sebenar dijangka akan dimulakan pada tahun ini setelah rang undang-undang ibu negara itu telah diluluskan oleh parlimen.
Sumber :