UK Mulakan Sistem Kerja 4 Hari Seminggu Tanpa Pemotongan Gaji
KUALA LUMPUR : Ribuan pekerja di United Kingdom (UK) telah memulakan sistem kerja 4 hari seminggu sejak Isnin lalu tanpa sebarang pemotongan gaji.
Memetik laporan portal berita CNN, usaha itu merupakan projek perintis yang akan berlangsung selama enam bulan melibatkan 3,300 pekerja daripada 70 syarikat.
Projek tersebut menyaksikan pekerja yang terlibat menerima bayaran gaji penuh meskipun tempoh bekerja kurang daripada seminggu dengan matlamat untuk mengekalkan produktiviti.
Pengurus Jenama sebuah kilang di London, Sienna O’Rourke memberitahu CNN, objektif pengenalan sistem bekerja empat hari seminnggu itu antara lain dibuat bagi meningkatkan kesihatan mental pekerjanya.
“Pandemik membuatkan kami banyak berfikir mengenai kerja dan cara orang mengatur kehidupan mereka.
“Kami melakukan ini untuk meningkatkan kehidupan kakitangan dan ia menjadi sebahagian daripada perubahan progresif di dunia,” katanya.
Dalam pada itu, CNN turut melaporkan, Iceland dikatakan negara yang memperkenalkan sistem bekerja yang jauh lebih pendek dalam tempoh seminggu.
Percubaan itu menunjukkan tiada penurunan produktiviti dalam kalangan peserta dan peningkatan dramatik dalam kesejahteraan pekerja.
Strategi memendekkan waktu bekerja itu ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan sejak beberapa tahun ini melibatkan beberapa buah negara.
Melihat kepada situasi COVID-19 yang banyak membawa kepada perubahan kehidupan, budaya bekerja dari rumah turut mendapat permintaan yang tinggi yang mengetengahkan sistem kerja yang lebih fleksibel.
Eksperimen awal kerja empat hari seminggu yang disokong kerajaan juga akan diadakan di Sepanyol dan Scotland, pada akhir tahun ini, kata komuniti bukan berasaskan keuntungan, 4 Day Week Global.
Tapi, adakah kerja 4 hari seminggu bermaksud cuti hujung minggu dipanjangkan kepada 3 hari berbanding 2 hari sebelum ini?
Menurut Wired.com, walaupun terma ‘kerja 4 hari seminggu’ digunakan, namun ia lebih tepat lagi bermaksud mengurangkan jam bekerja mingguan daripada 40 jam setiap minggu kepada 35 jam atau 36 jam.
Dari sini, ada yang boleh memilih untuk menguruskan baki jam mereka dalam tempoh empat hari.
Walau apapun, percubaan yang dijalankan adalah untuk memahami kesan jam yang lebih sedikit, bukan secara khusus idea minggu empat hari.
Selepas pemerhatian dan perbincangan dilakukan, kesatuan sekerja di Iceland berjaya mengurangkan waktu bekerja, tetapi bagi sesetengah kakitangan sektor awam hanya 13 minit sehari dan untuk pekerja kedai hanya 35 minit seminggu.
Sumber: CNN Business
Baca juga: