Kronologi Kes Pembunuhan Kerat Ibu 15, Anak Alami Masalah Mental & Tiada Rekod Jenayah
KRONOLOGI KES PEMBUNUHAN IBU KERAT 15
Satu Malaysia digemparkan dengan berita pembunuhan seorang wanita yang dibunuh serta dikerat 15 oleh anaknya sendiri.
Perbuatan itu terbongkar apabila bau busuk luar biasa membuat jiran terganggu sehingga Polis menemui 15 potongan daging menyerupai manusia dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian pada 5 Jun 2022 yang lalu.
Susulan kejadian, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga anak kepada mangsa.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, yang mengesahkan semua cebisan mayat itu ditemui dalam saluran lubang najis di belakang rumah mangsa yang ditutup papan lapis.
Ibu Dilaporkan ‘Hilang’ Sejak 28 Mei
Dalam pada itu, Mior Faridalathrash mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa mengenai kehilangan wanita itu pada 28 Mei lalu.
“Mangsa dan suspek tinggal bersama, manakala anak yang lain akan menghubungi ibu mereka setiap hari. Namun pada 28 Mei lalu, mereka menghubungi dan telefon dijawab suspek yang mengatakan ibu mereka keluar rumah dan tak balik-balik.
“Seorang anak mangsa curiga dan membuat laporan polis, sebelum siasatan sebagai orang hilang dijalankan,” katanya.
Polis turut merampas sebilah parang, dua bilah pisau dan barangan yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan pembunuhan itu.
Suspek Mengetuk Kepala Mangsa Sebelum Kerat Badan Ibu Kepada 15 Bahagian
Siasatan awal polis mendapati punca kejadian ialah suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya iaitu suami mangsa.
Mengulas siasatan pihaknya, Mior Faridalatrash berkata, pihak forensik yang menjalankan siasatan di lokasi kejadian semalam menemui bukti termasuk peralatan digunakan suspek untuk membunuh mangsa.
“Kita percaya suspek mengetuk kepala mangsa dahulu kemudian baru mengerat (badan mangsa).
“Sehingga kini kita percaya dan yakin dia (suspek) ada masalah mental dan kita sudah menahannya semalam.
“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kita mohon reman pagi ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Perwatakan Suspek Pendiam, Tidak Bercampur, Pernah Bunuh Kucing Dengan Pisau
Menurut laporan terkini oleh Berita Harian, suspek lelaki yang membunuh dan mengerat 15 ibunya berperwatakan serius dan sering mengutip dan mengumpul barangan terpakai di perkarangan rumahnya di Taman Kerian, di sini.
“Dia (suspek) jenis yang pendiam, serius dan tidak bercampur dengan masyarakat.
“Kami terkesan dan trauma apabila mengetahui suspek tergamak bertindak sedemikian pada ibunya.
Jiran yang enggan dikenali juga berkata, beberapa tahun lalu beliau terkejut apabila menyaksikan suspek bertindak membunuh seekor kucing yang masuk ke perkarangan rumahnya menggunakan sebilah pisau
“Malah, sepanjang tempoh seminggu ini, kami langsung tidak mendengar sebarang bunyi apa-apa sama ada ketukan atau jeritan seperti kebiasan daripada rumah suspek sehinggalah ketibaan pihak polis semalam,” katanya.
Menurut jiran itu lagi, kebiasaannya mereka sering terdengar suara mangsa yang bernyanyi dan menjerit namun suasana itu bertukar suram apabila kelibat mangsa tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.
“Biasanya kami selalu dengar suara ‘auntie’ (mangsa) menyanyi dan kadangkala menjerit, namun sejak beberapa hari lalu, kelibatnya tidak kelihatan.
“Sehinggalah petang semalam apabila kelihatan sepasukan anggota polis mengerumuni kediaman mangsa dan barulah kami tahu kehilangannya akibat dibunuh oleh anaknya sendiri,” katanya ditemui media.
Sementara itu tinjauan di lokasi mendapati keseluruhan rumah suspek dikelilingi pita polis manakala bahagian pintu belakang yang menempatkan tangki kumbahan, turut ditutup.
Selain itu perkarangan rumah suspek juga kelihatan tidak terurus dengan pelbagai barangan lusuh yang dikumpulnya.
Sumber: Berita Harian, BH Online
Baca juga: