Pemandu Rempuh Kanak-kanak Disyaki Tiada Permit Van Sekolah

SHAH ALAM, 13 NOV: Pemandu merempuh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi Sepang semalam dipercayai tiada permit van sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata ia berdasarkan warna kenderaan itu yang tidak menepati ketetapan, lapor Kosmo!

“Ia berikutan kenderaan berkenaan berwarna putih dan bukannya kuning seperti yang sudah ditetapkan.

“Selain itu, van tersebut tidak tertera perkataan van sekolah sekali gus dipercayai tidak mempunyai permit yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad mengesahkan pemandu berusia 31 tahun itu dibebaskan selepas ditahan semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu mangsa Nur Alisha Safiya Mohd Azlin maut selepas dirempuh van dinaikinya di hadapan tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi.

Siasatan mendapati mangsa yang dikatakan turun dari van itu berjalan di hadapan kenderaan itu sebelum dirempuh.

Sumber: SelangorKini

KENYATAAN MEDIA KETUA JABATAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK SELANGOR BERKAITAN VIDEO TULAR KEMALANGAN MAUT MELIBATKAN PELAJAR SEKOLAH

Pada 12/11/2021 telah tular sebuah video yang memaparkan kejadian sebuah m/van melanggar seorang pelajar sekolah.

Kejadian berlaku pada 12/11/2021 sekitar jam 12.10 tengah hari di kawasan taman perumahan Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van iaitu (1) Perempuan Melayu berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, telah bergerak memandu ke hadapan dan tanpa menyedari telah melanggar salah seorang pelajar perempuan yang juga merupakan penumpang van tersebut. Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu wanita terbabit. Sebelum kejadian, mangsa telah diambil oleh pemandu van tersebut dari sebuah sekolah berhampiran dan di hantar ke pusat transit sebelum ke Sekolah KAFA.

Ekoran dari kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang pelajar perempuan berusia 7 tahun telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mangsa disahkan telah meninggal dunia pada jam 2.30 petang tadi.

Pemandu van sekolah tersebut telah ditangkap untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Supt Azman Bin Shari’at
KJSPT Selangor

Dikeluarkan : 12/11/2021@2200hrs

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: