Orang Awam Patahkan Cubaan Culik Budak Sekolah Di Johor
Satu cubaan menculik seorang murid Sekolah Agama di Scientex Pasir Gudang, Masai berjaya dipatahkan oleh orang awam yang menyedari kejadian tersebut.
Sebuah hantaran di media sosial Facebook Encik Zua Aziz berkongsi beberapa potong video dari dashcam ketika insiden berkenaan berlaku pada 11 Mei 2022, menjadi tular di media sosial.
Dalam video tersebut, didapati seorang lelaki cuba melarikan seorang murid lelaki sekitar usia 7 tahun yang berpakaian seragam sekolah agama dalam keadaan menangis dan cuba meminta tolong.
Suspek yang pada awalnya menaiki motosikal kemudian cuba melarikan diri dengan mendukung murid berkenaan apabila mula disyaki oleh orang awam di situ.
Susulan mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena, Encik Zua Aziz dan beberapa lagi orang awam mengejar suspek dan mengambil tindakan untuk membuat laporan polis.
Seorang pengguna media sosial turut berkongsikan kejadian suspen yang berlaku di depan matanya sendiri.
Beberapa sumber lagi mengatakan kegiatan suspek terbantut apabila jeritan mangsa meminta tolong didengari oleh orang ramai ketika suspek berhenti mengisi minyak motosikal yang sudah habis.
Menurut Polis Johor, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari Sekolah Agama Taman Scientex dan suspek telah mempelawa mangsa menumpang motosikal untuk dihantar balik ke rumah.
Suspek berbangsa Melayu berusia sekitar 20-an yang juga merupakan pemegang kad OKU pesakit mental didapati positif dadah jenis Methaphetamine.
Suspek juga masih dikehendaki polis di bawah kesalahan seksten 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Encik Zua serta orang awam yang terlibat membantu mematahkan cubaan melarikan murid sekolah tersebut.
Selain itu, ramai ibu bapa turut melahirkan rasa bimbang dan risau sekiranya kejadian ini berlaku terhadap anak mereka sendiri.
Oleh itu, sama-samalah kita beringat dan jangan biarkan anak berjalan berseorangan walaupun di tempat awam.
Dalam pada itu, Polis Johor menasihati ibu bapa, penjaga dan pelajar sekolah agar lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling agar perkara sebegini tidak berulang lagi.
Kenyataan Media oleh Polis Johor
Pautan https://www.facebook.com/PolisJohor/posts/5703096709717796