UEFA Beri Amaran Pasukan Boleh Didenda Jika Alihkan Minuman Penaja

London: Pasukan yang beraksi di Euro 2020 berdepan denda jika pemain mereka mengalihkan minuman yang disediakan penaja ketika sidang akhbar seperti dilakukan Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba.

Pada Isnin lalu, kapten Portugal, Ronaldo mengalihkan dua botol Coca-Cola sambil menggalakkan orang ramai minum air kosong.

Sehari selepas itu, pemain tengah Perancis yang beragama Islam, Pogba turut mengikuti langkah Ronaldo dengan mengalihkan sebotol Heineken manakala pemain Itali, Manuel Locatelli menggantikan Coca-Cola dengan air kosong kelmarin.

Tindakan Ronaldo mengalihkan botol minuman tersebut dikatakan menyebabkan Coca Cola mengalami kerugian sebanyak RM16.5 Billion selain sahamnya yang turut jatuh menjunam.

“Uefa mengingatkan pasukan bahawa penajaan adalah penting untuk menjayakan kejohanan dan bagi memastikan pembangunan bola sepak di serata Eropah termasuk belia dan wanita,” menurut jurucakap penganjur semalam.

Pengarah Uefa Martin Kallen berkata pemain perlu mematuhi peraturan ditetapkan badan bola sepak Eropah itu.

Bagaimanapun, dia memahami tindakan pemain Muslim seperti Pogba yang melakukannya atas sebab fahaman agama.

Semua pasukan diingatkan mengenai peraturan sedia ada dan Kallen berkata Uefa sedia mengambil tindakan disiplin tetapi denda tidak akan dikenakan secara terus ke atas pemain.

“Kami tidak akan mengenakan denda ke atas pemain sebaliknya ke atas pasukan yang mungkin selepas itu boleh bertindak ke atas pemain mereka. Tetapi buat masa ini tiada tindakan terus daripada kami ke atas pemain,” kata Kallen.

“Kami mempunyai peraturan yang ditandatangani negara bertanding.”

*Sumber: Berita Harian

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: