Kereta Terbabas, Tenggelam Ke Dalam Sungai, 3 Beranak Ditemui Lemas
Baling: Sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki oleh 3 beranak telah terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, semalam, 25 Jun 2022.
Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, tiga mangsa terbabit adalah Mashitoh Ibrahim, 37, dan dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq Sharudin, 5.
Beliau berkata, Mashitoh adalah guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil.
“Insiden membabitkan kereta disyaki terbabas dan terjatuh ke dalam sungai dan bot penyelamat dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya yang mengesan mangsa di dalam sungai.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu jam 6.42 petang semalam, 25 Jun 2022.
Beliau berkata, keadaan sungai itu berarus deras manakala tebingnya agak tinggi iaitu tiga meter selain kedalamannya melebihi tiga meter.
Katanya, operasi turut dibantu beberapa bot penduduk kampung yang turut membantu dalam pencarian kenderaan itu.
“Tindakan anggota penyelamat adalah dengan melakukan kerja pencarian di permukaan air namun masih belum dapat mengesan kedudukan kenderaan terbabit.
“Pasukan penyelamat juga turut mendapatkan bantuan bot penduduk kampung untuk menyusuri sungai bagi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi.
Menurut seorang saksi dan pengguna media sosial yang dikenali sebagai Ur Shamsul Amri, kejadian kemalangan tersebut berlaku betul-betul di hadapan mereka.
Difahamkan arus yang begitu deras menyebabkan kereta cepat hanyut dan tenggelam serta tidak dapat dikesan.
Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah sudah dimaklumkan kejadian itu untuk membantu pencarian.
UPDATE:
Mangsa Ditemui Dalam Keadaan Berpelukan
Kesemua mangsa telah dijumpai di dalam kereta yang telah berjaya dibawa naik oleh pihak bomba dan pasukan penyelamat sekitar jam 3.23 pagi semalam.
Kereta jenis Proton Persona itu ditarik keluar dari dasar sungai pada kedalaman hampir lima meter, dengan bantuan kren sebelum mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan seakan-akan saling berpelukan.
Pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan kereta terbabit di dasar sungai itu kira-kira jam 11 malam tadi.
“Tiga beranak terbabit ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta itu. Mayat kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lokasi pencarian, awal pagi tadi.
Amggota memaklumkan, mayat Mashitoh berjaya dikeluarkan pada jam 3.32 pagi diikuti kedua-dua anaknya selang dua minit kemudian, dalam operasi yang turut dibantu penduduk kampung, polis, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Ketika ditemukan, semua mangsa dalam kereta berkenaan nampak seakan-akan saling berpelukan, dipercayai apabila kenderaan itu terhempas ke sungai,” katanya.
Difahamkan, mayat tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro, Ur Shamsul Asri, Addy Kdh, Berita Harian