Ramai ‘Tipu’ Gambar Ujian RTK Di MySejahtera Untuk Dapatkan Cuti

Terdapat segelintir golongan pekerja yang didapati mengambil kesempatan memalsukan keputusan ujian COVID-19 semata-mata untuk ponteng kerja, lapor sebuah portal berita The Star.

Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, “Ketika ini, apa yang tertera dalam MySejahtera adalah kemaskini oleh mereka yang disahkan positif COVID-19.”

Tambahnya lagi, terdapat kecenderungan bagi sesetengah golongan pekerja untuk bertindak tidak jujur dan menuntut cuti sakit memandangkan MySejahtera tidak memerlukan pengesahan maklumat kecuali imej ujian COVID-19 semata-mata.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/ujian-kendiri-cetus-manipulasi-mysejahtera/

Beliau turut memberi saranan agar MySejahtera ditambah dengan ciri bagi membolehkan pengamal perubatan mengesahkan status kesihatan atau keadaan pekerja yang mendakwa diri mereka tidak dapat melaporkan diri untuk bekerja dan memerlukan kuarantin di rumah.

Berikutan hal itu, orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati kerana tindakan ini boleh menyukarkan mereka yang benar-benar dijangkiti dan perlu dikuarantin.

Majikan juga digesa untuk lebih berhati-hati terhadap isu ini dan mengenakan hukuman terhadap mereka yang didapati menipu mengikut proses tatatertib syarikat.

“Sekiranya majikan mengesyaki pekerja mereka menggunakan taktik sedemikian, mereka harus menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tatatertib yang perlu,” katanya lagi.

Menurut Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berpendapat, majikan harus menguruskan pesalah ini di bawah tindakan tatatertibnya sendiri.

“Tindakan tegas harus dikenakan ke atas pesalah kerana penyalahgunaan seperti itu akan menjejaskan operasi syarikat dan mengelirukan pihak berkuasa yang sedang berusaha untuk menguruskan wabak berkenaan,” jelas beliau.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Ding Hong Sing pula berkata, kes pekerja memalsukan keputusan COVID-19 memang ada, namun masih dalam bilangan yang kecil.

Menurutnya lagi, pekerja hanya akan dibenarkan mengambil cuti sakit selepas keputusan ujian disahkan.

Tambah beliau, “Banyak syarikat akan meminta pesakit COVID-19 menjalani ujian lain sama ada melalui syarikat atau klinik untuk mengesahkan keputusan.”

Namun, masih wujud kemungkinan keputusan ujian orang lain digunakan sebagai ganti bagi keputusan pekerja itu sendiri.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: