‘Kalau tak ada duit, jangan tahan lapar. Datang sini saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar.”
Beberapa hari yang lalu, sebuah kedai makan yang terletak dalam UTM menjadi tular apabila seseorang berkongsi mesej yang terpampang di situ:
“Adik-adik pelajar, kalau tak ada langsung duit, jangan tahan lapar. Datang sini bagitau, saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar. Jangan malu.”
Mesej yang menggambarkan kemurahan hati peniaga itu ternyata menyentuh hati ramai warga maya.
Selain memberikan makanan percuma kepada pelajar yang benar-benar memerlukan, harga makanan yang dijual pula sangat murah dan mesra poket, terutama untuk pelajar.
Dengan nasi lemak biasa dijual serendah RM1 dan nasi lemak berlauk semua berharga RM4, ternyata peniaga ini amat prihatin terhadap para pelajar yang datang untuk makan di situ.
Menitip di ruangan komen,, rata-rata begitu ramai yang memuji kebaikan hati peniaga ini dan mendoakan agar beliau diluaskan rezeki.
Ada juga yang pernah makan di situ mengatakan lauk di sini memang sedap!
Penangan Viral, Makin Ramai Datang Makan, ‘Join’ Infak & Tak Ambil Baki
Penangan viral, Kafe N24 Streetcafe UTM, Skudai yang diusahakan oleh peniaga yang dikenali sebagai Siti Aishah, atau mesra dipanggil Kak Chah, ini difahamkan mula dikunjungi ramai pelanggan.
Bahkan, menurut Siti Aishah, ramai yang menghubunginya untuk sama-sama berinfak.
Dalam status terkininya semalam, beliau menaikkan notis bahawa nasi lemak biasa akan diberi percuma pada hari Selasa, Rabu & Khamis kerana ia telah diinfakkan oleh orang ramai.
“Ramai juga customer walk in tak ambik baki harini. Sebab kudrat terhad, projek infak akan bergilir gilir saya buat. Setiap hari akan buat amanah seorang penginfak sampai selesai,” kata beliau.
“Orang yang pernah lapar akan tahu betapa seksanya bila lapar. Terima kasih semua penginfak. Saya cuma buatkan amanah. Moga Allah terima infak kalian hingga ke syurga.”
Alhamdulillah, rasa terharu dengan keikhlasan dan kemuliaan hati rakyat Malaysia. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang belum pulih ditambah pula dengan kenaikan harga barang, masih ramai insan yang prihatin.
Semoga asbab kebaikan ini mendorong kita untuk sama-sama berbuat baik sesama manusia.
Sumber: Siti Aishah