Polis Nafi Dakwaan Kes Bayi Syifaa Tidak Telus
Sejak semalam, kes bayi yang meninggal dunia akibat terjerut buaian bulan lalu kembali tular di media sosial.
Menerusi hantaran bapa bayi tersebut di Facebook, kesan lebam yang terlihat pada anaknya didakwa dijerut dengan tali, kabel atau wayar dan bukannya terjerut oleh kain buaian.
Ramai yang bersimpati dengan kes tersebut dan menaikkan tanda pagar #Justice4Syifaa hari ini.
Namun, menurut laporan oleh Sinar Harian, polis menyangkal dakwaan tidak menjalankan siasatan secara telus berhubung kes seorang bayi berusia 15 bulan yang meninggal dunia ketika berada di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan telah dilakukan secara menyeluruh termasuk menggunakan bantuan Jabatan Forensik.
“Polis jalankan siasatan bukan sahaja secara individu tetapi juga menggunakan bantuan forensik yang siasatannya lebih tepat.
“Siasatan kes itu sudah lengkap dan telah pun dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Apa arahan seterusnya saya tak dapat komen, kita tunggu saja,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini, 22 Mac 2022.
Mengulas berkenaan dakwaan bapa bayi terbabit, Nanda berkata, sehingga kini polis tidak menerima aduan rasmi daripadanya melainkan membacanya di media sosial.
“Itu cuma anggapan bapa mangsa saja, kita tak boleh kata apa. Dari sudut polis, kita telah pun melakukan siasatan secara terperinci dengan merakam percakapan semua pihak berkaitan.
“Begitu juga dengan netizen jangan memberi komen yang mengikut hati dan perasaan di media sosial kerana polis telah melakukan tugas yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini HarianPost melaporkan dakwaan anaknya, Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri jam 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu.
Baca: ‘Bukan Terjerut Buaian, Tapi Dijerut’ Bapa Mohon Siasat Semula Kes Bayi Syifa
Nanda berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari.
“Mangsa ditidurkan dalam buaian kain dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis ‘rocker’.
“Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada jam 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain, katanya.
Menurutnya, pada jam 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas.
“Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada jam 4.30 petang,” katanya.
Sumber artikel asal oleh Sinar Harian :