[Video] Tayar Lori Tercabut, Hentam Perodua Aruz

Lelaki cedera, tayar lori tercabut hentam kereta sedang dipandu

SEPANG – Seorang lelaki berdepan saat cemas apabila kereta dipandunya tiba-tiba dihentam sebiji tayar lori di Lebuh Raya Elite petang tadi.

Dalam kejadian pukul 2 petang di Kilometer 27.2 Lebuh Raya Elite menghala ke arah utara itu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Aruz itu turut cedera di muka dan kepala.

Tayar lori tercabut

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku apabila tayar sebuah lori dipandu seorang lelaki tiba-tiba tercabut lalu menghentam kereta mangsa.

Tayar lori tercabut
blank

Beliau berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori mendakwa tayar sebelah kiri tercabut sebelum dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

“Pemandu kereta yang cedera telah di bawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang petang tadi.

“Siasatan mendapati, lokasi kejadian mempunyai tiga lorong jalan dan satu lorong kecemasan manakala, cuaca pula baik dan cerah selain permukaan jalan rata dan kering,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya telah mengambil keterangan pemandu lori berkenaan dan lori itu turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya juga akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam sebuah video rakaman orang awam, impak daripada hentaman tayar itu menunjukkan pemandu yang tercedera di tempat kejadian.

Rata-rata ramai yang bersimpati terhadap pemandu Perodua Aruz dan meminta agar kenderaan berat diselenggara dengan rapi sebelum memulakan perjalanan.

Sumber : KOSMO! ONLINE, Info Bencana Pahang dan Luar Pahang

Baca juga: MySPR Semak : Semakan Pusat Mengundi 2022 (PRU15)