Akibat ‘Bodyshaming’, Influencer Eira Aziera Diarah Bayar Ganti Rugi RM100,000

EIRA AZIERA DIARAH BAYAR GANTI RUGI RM100,000 !

Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pempengaruh, Noorazira Pissal atau lebih dikenali sebagai Eira Aziera membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan Md Sidek yang menjadi mangsa ‘body shaming’ (penghinaan bentuk fizikal) pada Ogos 2020.

Peguam Suharnizan, Mohd Rasheed Hassan berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim membuat keputusan berkenaan dalam saman Suharnizan terhadap Eira Aziera secara dalam talian pada 30 Mei lalu.

Beliau berkata, keputusan terbabit dibuat selepas perbicaraan penuh dijalankan selama lima hari dari 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian.

“Mahkamah juga memerintahkan Noorazira untuk menyiarkan permohonan maaf yang jelas tanpa syarat dalam semua akaun media sosial miliknya dan hendaklah dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran.

“Selain itu mahkamah memutuskan bahawa Suharnizan menerusi peguamnya berjaya membuktikan tuntutannya dan selepas kesemua elemen yang berkaitan dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 13 Oktober 2020 Suharnizan memfailkan saman menuntut lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera, 39, di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa menghina bentuk fizikalnya atau ‘body shaming’.

Mengulas lanjut, Mohd Rasheed berharap kes itu akan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati dalam media sosial. – Harian Metro

Sumber: Harian Metro https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/851423/eira-aziera-kena-bayar-ganti-rugi-rm100000

Imbau Kembali Kes ‘Bodyshaming’ Influencer Eira Aziera

Selepas sekian lama mendiamkan diri sejak video berkenaan bentuk badan dihina seorang personaliti media sosial, Suharnizan Md Sidek, 37, telah tampil membuat laporan polis pada 13 Oktober 2020.

Ibu kepada dua anak itu yang juga merupakan Pesuruhjaya Sumpah berkata, tindakan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini bagi mendapatkan keadilan buat dirinya.

Dia mendakwa, perbuatan Noorazira Pissal, sehingga menjadi tular di media sosial membuatkannya mengalami tekanan dan trauma.

Pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi, Suharnizan menulis komen “live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?” menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya di Facebook personaliti tersebut.

Personaliti media sosial itu kemudiannya membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dengan menyamakan bentuk tubuhnya dengan haiwan termasuk memaparkan gambarnya bersama anak sebelum video berkenaan tular.

Bagaimanapun, selepas mendapat kecaman netizen, personaliti itu tampil sekali lagi menerusi sebuah video memohon maaf di atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosi dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.

Sementara itu, Suharnizan berkata, pada mulanya dia tidak menyedari video berkenaan menjadi tular sebelum dimaklumkan rakannya mengenai perkara itu.

“Apabila saya menyemak dan meneliti, saya mendapati individu itu sengaja melakukan perkara itu tanpa kebenaran mahupun pengetahuan saya. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan ketika itu dan mengharapkan perkara ini ‘mati’ dengan sendirinya.

“Namun semalam, saya dimaklumkan terdapat satu paparan video yang dimuat naik dan dikongsikan dalam media sosial oleh pentadbir Facebook yang menggunakan nama ‘Makcik Bawang Channel’ dan ‘Makcik Kiah Channel’ dengan kandungan video selama lapan minit memaparkan antara lain menghina rupa fizikal saya sehingga tular mencapai ribuan pautan serta komen,” katanya.

Selain paparan tular sehingga ke YouTube, dia mendakwa terdapat juga pihak tidak dikenali cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan imejnya iaitu mewujudkan Facebook dan Page palsu atas namanya.

Sementara itu, peguam Suharnizan, Mohd Rasheed Hassan berkata, pihaknya sudah menghantar notis tuntutan sivil kepada personaliti itu yang merangkumi permohonan maaf secara terbuka dan membayar kos pampasan serta ganti rugi dalam tempoh 14 hari.

Pihaknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat kerana ‘body shaming’ boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berkenaan laporan tersebut.

Eira Aziera Telah Membuat Permohonan Maaf Terbuka

Sementara itu, pada 51 September yang lalu, influencer Eira Aziera juga difahamkan telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Assalamualaikum.

Pertama sekali, Permohonan Maaf Secara Terbuka dari Eira ini dibuat berikutan terdapat Dua (2) Insiden yang tular ketika Eira membuat “Live” di Facebook Eira Azira di mana insiden pertama yang tular adalah berkenaan Restoran 35 di Melaka dan insiden kedua melibatkan kata-kata berunsur kesat iaitu (Body Shaming) terhadap individu/Pemilik Akaun Facebook yang bernama Suharnizan Md Sidek.

Jujur Eira katakan, SALAH TETAP SALAH. Sebagai individu yang jauh lebih muda Eira seikhlas hati memohon maaf sebab pada ketika itu Eira gagal mengawal emosi dan amarah sehingga tutur dan kata Eira telah menyinggung hati banyak pihak. Insiden-insiden tersebut telah menyebabkan ramai Follower Eira yang Eira sayang telah berkecil hati dan sekaligus timbul pelbagai salah faham dan prasangka buruk.

Insiden yang tular ini juga telah memberikan kesan yang amat dalam pada seluruh ahli keluarga Eira, Sahabat², terutamanya Suami Eira dan Anak Eira Qalesya serta Agent² Klubna Laleh dan Miruku di seluruh Malaysia.

Eira secara peribadi sangat kesal dan berilah peluang pada Eira untuk Eira cuba memperbaiki diri Eira, tutur dan kata Eira pada hari-hari yang mendatang. In Shaa Allah

Permohonan maaf ini dibuat seikhlas hati Eira dan kepada kalian semua yang telah memberikan komen-komen Negatif terhadap Eira sejujurnya Eira telah berlapang dada dan maafkan semua. Kerana anda semua berhak untuk berasa kecewa dengan Eira. Keputusan Eira untuk tampil membuat permohonan maaf terhadap kedua-dua pihak ini dan juga memberi kemaafan untuk anda semua membuatkan Eira lebih tenang menghadapi ujian ini. In Shaa Allah

Eira berharap agar PEMILIK RESTORAN 35 di Melaka dan Pemilik Akaun Facebook SUHARNIZAN MD SIDEK serta seluruh ahli keluarga yang terkesan dengan perbuatan Eira dapat memaafkan kesalahan Eira yang dibuat samada secara sengaja mahupun tidak sengaja melalui posting “Live” di Facebook yang terlibat.

Akhir kata dari Eira,

“…Maaf adalah tanda keikhlasan selepas melakukan kesilapan. Kerana manusia tidak pernah lari dari melakukan kesalahan. Manusia tidak sempurna begitu juga saya Eira Azira..”

Wasalam
15 September 2020

Sumber: Harian Metro

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: