7 Tanda Awal Kanser Ovari Yang Digelar Pembunuh Senyap

7 Tanda Awal Kanser Ovari Yang Digelar Pembunuh Senyap

Ramai yang menggelar kanser ovari sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ia tidak menunjukkan sebarang tanda serius dan begitu cepat meragut nyawa.

Menurut data pada tahun 2018, kanser ovari adalah yang ke-4 tertinggi menyerang wanita di Malaysia.

Ia juga boleh menyerang wanita seawal usia 26 tahun.

PUNCA KANSER OVARI

Kebanyakan kes kanser ovari tidak dapat diketahui sebab-musababnya. Walau bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang ada perkaitan dengan kanser ovari

  • Risiko meningkat dengan pertambahannya umur wanita. 8 dari 10 kes kanser ovari berlaku pada wanita lebih 50 tahun umurnya.
  • Berat badan berlebihan / obesiti
  • Penghasilan telur / perlepasan telur (ovulasi) yang dikurangkan dapat mengurangkan risiko kanser ovari. Boleh dicapai melalui pengambilan pil perancang kehamilan, penyusuan susu ibu
  • Risiko untuk mendapat kanser ovari meningkat sedikit jika seseorang wanita itu tidak mempunyai anak atau menopos pada usia lewat
  • Sejarah keluarga yang mempunyai kanser ovari dan kanser payu dara. Disebabkan perwarisan genetik yang rosak ( faulty gene) – BRCA 1 / BRCA 2. 1 dalam 10 kanser ovari disebabkan oleh keadaan genetik ini.

Biasanya sesorang itu tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.

Kebanyakan orang melaporkan mempunyai gejala-gejala seperti berikut :

  • kembung / bengkak perut
  • sakit adalah perkara yang jarang berlaku – melainkan ketumbuhan pada ovari sudah terpulas / berlaku pendarahan di dalam ovari
  • merasa cepat kenyang dan kurang selera makan
  • kebiasaannya kanser ovari ini sudah merebak ketika ianya diketahui.

Bagaimana Mengesan Kanser Ovari ?

Pemeriksaan ultrasound – doktor boleh melihat sama ada ovari normal atau tidak semasa melakukan pemeriksaan ini.

Ujian darah CA 125 – sejenis protein dalam darah, jika parasnya meningkat selalunya berkaitan dengan kanser ovari jenis bahaya.

Anda mungkin dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan CT scan abdomen pelvis dan dada.

Kadang-kadang perlu pemeriksaan biopsi – mengambil sedikit tisu/sel untuk pemeriksaan makmal

Jika perut membusung, penuh dengan air (ascites) anda mungkin dinasihatkan untuk mengeluarkan air ini, cecair ini akan dihantar untuk pemeriksaan sel kanser di makmal patologi.

Ujian saringan genetik untuk mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser ovari untuk lihat sama ada ada mutasi pada gene BRCA 1 / BRCA 2.

Jadi, jangan lupa buat Pap Smear untuk kanser serviks dan uterus.

Menurut Pakar Ginekologi Onkologi Hospital Serdang, Dr Andi Anggeriana Andi Asri menerusi MAKNA Malaysia (Majlis Kanser Nasional), kanser rahim adalah salah satu kanser yang mampu dikesan seawal tahap satu.

Tambah beliau lagi, bagi individu yang berusia di bawah 30 tahun, rawatan susulan mampu memberikan tahap penyembuhan pada kadar yang cepat serta tidak perlu menjalani pembedahan pembuangan rahim.

7 TANDA KANSER OVARI YANG BOLEH DIKESAN AWAL

Berikut adalah tanda kanser rahim / ovari yang perlu diketahui oleh setiap wanita.

  1. PENDARAHAN SELEPAS MENOPAUS

Antaranya simptom yang paling jelas, terutamanya selepas menopaus adalah berlakunya pendarahan. Kebiasaannya wanita mengambil mudah apabila selepas menopaus, mereka didatangi haid semula.

Sepatutnya wanita perlu membuat pemeriksaan sekiranya ia berlaku agar doktor dapat mengesahkan sama ada ia penyakit serius. Apabila dibiarkan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan, sel kanser boleh merebak ke tahap 4.

2. HAID TIDAK TERATUR DAN BANYAK

Bagi yang belum menopaus, ambil perhatian sekiranya haid tiba-tiba keluar secara banyak dan berterusan. Perkara ini disebabkan oleh ovari yang gagal merembeskan hormon secara normal kerana aktivitinya yang terganggu.

Aliran haid berat ini juga boleh disebabkan oleh beberapa penyakit lain seperti fibroid atau polyp di uterus. Pendarahan teruk juga boleh berlaku selepas melakukan hubungan intim ataupun sudah menopaus.

3. PERUT TIDAK SELESA

Selain 2 tanda kanser rahim paling jelas di atas, sistem penghadaman juga turut terkesan kerana posisinya yang agak dekat. Perut akan terasa mudah kenyang dan kembung.

Sesetengah wanita mudah terasa loya dan mudah terkena sembelit. Jika perkara ini berlanjutan lebih dari tiga minggu, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan selanjutnya.

4. MUDAH LETIH

Walaupun sudah berehat lama, tetap berasa letih. Nafas menjadi singkat dan jantung berdegup lebih laju walaupun tidak melakukan aktiviti berat. Selama ini tidak pernah pula selesu ini.

Seperti yang dijelaskan oleh sumber laman web kesihatan, hal ini disebabkan oleh sel darah merah yang berkurangan berbanding sel darah putih. Kondisi inilah yang dinamakan anemia dan sering berlaku pada pesakit kanser.

5. KERAP MEMBUANG AIR KECIL

Minum air macam biasa. Nak dikata mengandung, tidak. Kenapa sejak-sejak ini terlalu kerap buang air kecil? Bukan sahaja selalu, malah sakit seperti rasa ketat dan pedih. Jangan berasa malu untuk mendapatkan nasihat doktor jika perkara ini berlarutan lebih dua minggu.

Walaubagaimanapun, tanda kanser rahim ini menyerupai juga beberapa penyakit lain yang kurang serius dan boleh dirawat dengan mudah.

6. SAKIT SEAKAN SENGGUGUT

Selain sakit perut kembung, sakit di sekitar pelvis seakan senggugut ketika haid juga adalah antara tanda kanser ovari. Sakit ini mungkin sebiasa sakit senggugut atau mungkin lebih teruk sehingga perlu berbaring dan ambil ubat tahan sakit.

Dapatkan nasihat pakar sekiranya sakit pelvis berlarutan walaupun selepas haid atau pada bila-bila masa.

7. PERUBAHAN BERAT BADAN SECARA DRASTIK

Jika selama ini kita bertubuh agak gempal dan turun berat badan tanpa senaman atau kawalan pemakanan, dapatkan rawatan segera terutamanya bila turun berat badan secara drastik.

Menurut Dr Khairul Hafidz, kanser boleh menyebabkan turun berat badan secara mendadak kerana:

  • Kanser sel menggunakan lebih tenaga, jadi membakar lebih kalori dari badan
  • Badan sedang melawan kanser dan menghasilkan cytokine, hormon ini mengganggu selera makan pesakit

JANGAN AMBIL MUDAH

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom di atas, dapatkanlah nasihat doktor. Semak semula sekiranya tedapat ahli keluarga terdekat anda ada yang menghidap kanser payudara atau ovari.

Namun begitu, jangan terlalu panik jika anda menghadapi gejala-gejala di atas. Ada beberapa lagi penyakit yang menyerupai tanda kanser rahim seperti PCOS atau fibroid.

Ujian saringan awal boleh dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Sumber: NHS

Baca juga: Adibah Noor Meninggal Dunia Setelah Berjuang Dengan Kanser Ovari Tahap 4

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: