Rawatan HFMD Guna Serbuk Kunyit & Daun Semambu Tidak Digalakkan – KKM

hfmd rawatan

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan penggunaan kaedah rawatan tradisional seperti menggunakan serbuk kunyit dan daun semambu untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Sebaliknya, adalah lebih baik ibu bapa terus berjumpa doktor sekiranya anak-anak mereka mempunyai simptom jangkitan penyakit berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, paling utama ialah kanak-kanak yang terkena penyakit itu diberi minum air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.

“KKM memang tidak galakkan rawatan alternatif kerana ia tidak ditentukan kesahihannya lagi dari sudut sains malah tiada rawatan khusus dari sudut sains bagi merawat penyakit tersebut. Kita juga bimbang gejala dehidrasi. Jadi kanak-kanak yang terkena HFMD perlu dipastikan minum air secukupnya. Jika langsung tidak boleh minum air, memang perlu diberikan secara intravenous (suntikan ke dalam salur darah) dan dibawa ke hospital.” kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali-

Menurut beliau, ini adalah kerana, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD akan terkena ruam serta lepuh (gelembung bendalir pada kulit) serta ulser di mulut.“Itu memang tanda-tanda utama dia (kanak-kanak) tak nak makan, minum pun tak nak… jadi itu bahaya, pastikan anak-anak banyak minum, pastikan banyak minum air.

“Kalau tidak boleh minum langsung dan sebagainya memang perlu berikan secara suntikan intavena… maknanya kena pergi ke hospital sebab kita tak nak anak-anak jadi lemah, jadi lemah sebab itu saja (dan) kebanyakan yang kena kanak-kanak bawah 10 tahun,” jelas beliau.

Dr Noor Azmi berkata demikian ketika ditemui di majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di sini, pada Ahad.

hfmd daun semambu
Tips rawatan HFMD dengan kaedah tradisional seperti daun semambu dan kunyit viral di media sosial
hfmd kunyit

Kes Di Malaysia Kini Meningkat Dengan Mendadak

Katanya, walaupun belum ada kes kematian yang dilaporkan, namun negara ketika ini sedang melalui fasa epidemik atau wabak HFMD.

Ini berikutan kes HFMD di seluruh negara meningkat secara mendadak kepada lebih 7,526 kes pada minggu ke-19 tahun ini yang berakhir 14 Mei lalu, berbanding hanya 1,676 kes minggu sebelumnya.
HFMD adalah penyakit yang sering berjangkit di kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus daripada kumpulan Enterovirus yang merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair hidung, cecair lepuh dan najis pesakit.

Gejala & Pencegahan HFMD

Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD biasanya menunjukkan satu atau lebih simptom seperti demam, ruam, melepuh lada kaki, tangan atau ulser pada mulut dan lidah di samping berkemungkinan mengalami muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Menurut Dr Noor Azmi, setakat ini tiada rawatan khusus dari segi segi sains untuk merawat penyakit HFMD.

Berikut dikongsikan infografik ringkas tentang Penyakit Kaki Tangan Dan Mulut (HFMD) untuk makluman bersama khususnya ibu bapa:

blank
blank

NASIHAT & PENCEGAHAN

  1. Dapatkan nasihat doktor secepatnya jika terdapat tanda-tanda penyakit kaki tangan dan mulut pada anak-anak.
  2. Peka kepada sebarang perubahan tingka laku anak-anak seperti kerengsaan dan mengantuk.
  3. Segera membawa anak ke hospital jika mereka tidak mahu makan atau minum, muntah berterusan atau mengantuk.
  4. Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, prasekolah, nurseri atau tadika.
  5. Sapu dan berihskan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.
blank

Sumber: Astro Awani, BERNAMA, KKM MyHealth

Baca juga: Luarbiasa! Ramai Kagum Lihat Fenomena Ribuan Rama-rama Kuning Di Sabah