Perjalanan Akhir Suami Tertimbus Tanah Runtuh, Tinggalkan 2 Anak Kecil
TERKINI Dua maut dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
IPOH – Pemandu lori muatan sayur yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands petang tadi ditemui maut.
Mangsa, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 tahun, dipercayai dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke arah Simpang Pulai ketika kejadian itu berlaku.
Difahamkan sebuah lagi kereta turut tertimbus dalam runtuhan itu menjadikan tiga buah kenderaan terperangkap dalam insiden berkenaan.
Dalam kejadian sama, mayat pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire telah berjaya dikeluarkan anggota penyelamat kira-kira jam 9.55 malam tadi.
Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan maklumat awal mendapati mangsa berusia 50-an itu dipercayai dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.
Baca juga: [VIDEO] Pengasuh Baling Objek Pada Bayi Ditahan Polis
Adik tiba-tiba terdiam ketika cerita tanah runtuh di Cameron Highlands – Abang mangsa
IPOH: Pemandu lori yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dekat sini selalu berkongsi cerita berkaitan kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sebelum beliau sendiri menjadi mangsa tragedi kejadian tanah runtuh di kawasan peranginan tanah tinggi itu, kata abangnya Mohd Kamal Hamdi.
Mangsa Muhammad Hafiz Hamdi, 31, bapa kepada dua anak, seorang berusia dua tahun dan seorang lagi masih bayi, memandu lori dengan muatan sayur-sayuran dari kawasan tanah tinggi itu setiap hari.
Mohd Kamal, 40, berkata dia berasa hairan apabila arwah adiknya itu secara tiba-tiba berdiam diri apabila dia berkongsi mengenai kejadian tanah runtuh berkenaan di dalam pesanan WhatsApp keluarga mereka.
“Gerak hati saya terasa lain sebab tiada tindak balas daripadanya seperti sebelum ini jadi saya menghubungi rakannya untuk mendapatkan kepastian kerana bimbang akan keselamatannya.
Apabila rakannya memaklumkan adik saya terlibat dalam kejadian, saya terus pulang ke Ipoh dengan memandu lori dari Kuala Lumpur dan segera membawa kereta ke lokasi tanah runtuh kerana masih tidak percaya ia menimpanya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Khamis.
Mohd Kamal berkata beliau sendiri melakukan pengecaman mayat adiknya kerana isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma.
Menurutnya jenazah akan dikebumikan di kampung mereka di Tanjung Piandang, Parit Buntar selepas segala urusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selesai.
Sementara itu di Jabatan Forensik HRPB, abang ipar mangsa tanah runtuh yang ditemui memberitahu arwah seorang yang ceria dan baik hati.
Rosli Saidin, 52, dari Butterworth, Pulau Pinang berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam tadi daripada isteri mangsa yang merupakan adik perempuannya.
“Pada mula anak saya melihat gambar kejadian yang tular namun tidak dapat pengesahan daripada sesiapa sama ada mangsa itu adik ipar saya.
“Kami sekeluarga redha namun agak terkejut dengan kejadian ini,” katanya.
Beliau yang juga pemandu lori sayur berkata arwah memang kerap berulang-alik ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur untuk dijual di sekitar Parit Buntar.
Rosli berkata arwah mempunyai sepasang anak berusia kira-kira dua dan setahun hasil perkahwinan dengan adik perempuannya sejak empat tahun lalu.
Katanya isteri mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu terus bergegas dari Tanjung Piandang, Parit Buntar ke lokasi kejadian.
Setakat ini dua mangsa maut tertimbus yang ditemui iaitu Muhammad Hafiz dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.
Sumber BERNAMA
Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)