Kedai Buku, Alat Tulis, Komputer & Komunikasi Dibuka Mulai 16 Julai

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membenarkan kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok, 16 Julai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar selain memastikan guru serta pelajar dapat menjalankan Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa gangguan.

“(Ini kerana) Pandemik Covid-19 ini sudah mengubah cara pembelajaran harian, dan semua institusi pendidikan kini mempraktikkan sistem pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

“Selain itu, sidang khas juga bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ke kawasan PKPD dengan syarat mendapat kebenaran polis bagi tujuan mengambil peperiksaan termasuk peperiksaan profesional,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut mengulangi bahawa peningkatan kes Covid-19 mendadak ini adalah disebabkan ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar yang dilakukan di kawasan PKPD terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Katanya, semalam, seramai 134,569 individu menjalani ujian saringan, manakala di Selangor sahaja seramai 50,646 individu disaring, yang mana 6,120 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Trend peningkatan kes positif Covid-19 bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan negara jiran seperti Indonesia juga mencatatkan 56,757 kes positif pada hari ini.

Sumber: Harian Metro

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: