Strok Haba: Gejala, Cara Mencegah & Rawatan
Strok Haba: Gejala, Cara Mencegah & Rawatan ~ Berikutan kenaikan suhu di Malaysia, strok haba adalah salah satu perkara yang perlu diambil serius. Hal ini kerana, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan dan lebih parah lagi, kematian.
Jom teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai strok haba, gejalanya, cara mencegah serta rawatan yang perlu didapatkan.
BACA JUGA: Pening Kepala, Rasa Pusing & Berputar. Ramai Tak Sedar Ia Tanda ‘Vertigo’
Strok Haba
MET Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan status cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga) suhu meningkat ke 35-37°C terutamanya di kawasan utara semenanjung.
Apabila terdedah kepada cuaca panas yang melampau, anda boleh mendapat ‘kelesuan haba’ (heat exhaustion) atau lebih teruk, ‘strok haba’ (heat stroke).
Jadi, apa itu strok haba?
Strok haba merupakan suatu kondisi yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan dan ianya berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih.
Risiko mendapat strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan bahawa gelombang panas dan kering yang sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023 serta turut melanda negara-negara Asia lain termasuk Thailand, Vietnam, China, India dan Bangladesh.
BACA JUGA: 2 pelancong Maut Dalam Nahas Belon Udara Panas Cappadocia
Simptom/Gejala Strok Haba
Berikut ialah antara simptom atau gejala sekiranya seseorang mengalami strok haba yang anda perlu ketahui agar rawatan dapat diberikan segera.
- Demam tinggi lebih daripada 40 darjah Celcius – peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih (suhu badan normal: 36.5°C hingga 37.5°C)
- Denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar-debar (denyutan jantung normal: 60-100/minit)
- Pernafasan laju dan pendek (kadar pernafasan normal: 12-20/minit)
- Peluh berlebihan
- Badan terasa panas dan kering
- Sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing serta mual
- Tekanan darah menurun (tekanan darah normal: 120-140/60-80 mmHg)
- Tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan
- Tingkah laku pelik seperti kebimbangan, ketegangan atau tekanan
NOTA: Segera dapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.
Golongan Berisiko Terkena Strok Haba
Golongan yang berisiko terkena strok haba adalah individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlet dan aktiviti-aktiviti luar yang dijalankan di bawah sinaran matahari terik.
Selain itu, beberapa golongan rentan juga dikenal pasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.
Oleh itu, sekiranya anda termasuk dalam golongan yang dikenalpasti berisiko terkena strok haba pastikan anda sentiasa menjaga diri dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti di bawah.
Langkah Pencegahan
- Hadkan melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh waktu yang panjang. Sekiranya perlu berada di bawah sinaran matahari, pastikan anda memakai topi atau payung atau alat perlindungan diri dari sinaran matahari.
- Elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar dan dahaga yang keterlaluan.
- Minum air yang mencukupi. Pastikan diri anda terhidrat dengan meminum air kosong tiga (3) hingga empat (4) liter sehari.
- Amalkan pemakanan sihat dan seimbang.
- Pakai pakaian yang longgar dan ringan.
- Gunakan pelindung cahaya seperti sunblock/sunscreen untuk melindungi kulit anda.
- Tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik
- Memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis.
Rawatan Strok Haba
A. Rawatan ketika di tempat kejadian:
- Alihkan mangsa dari sinaran matahari yang melampau ke tempat berbumbung, kawasan teduh atau ruang yang mempunyai hawa dingin.
- Sejukkan mangsa dengan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk.
- Letakkan mangsa di bawah pancuran sejuk atau tekanan air paip sekiranya perlu.
- Berikan udara segar, halakan kipas secara terus atau kipas mangsa menggunakan kertas surat khabar.
- Letakkan pek ais ke tempat paling hangat di atas badan mereka seperti leher, lipatan paha, ketiak. Jika tidak ada pek ais yang tersedia, gunakan tuala basah.
- Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk dan segar.
- Dapatkan bantuan perubatan melalui talian 999.
NOTA: Jangan lupa periksa isyarat penting. Sekiranya mangsa tidak sedarkan diri, mulakan CPR.
Kesimpulan
Jangan sesekali memandang ringan gejala strok haba kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan dan komplikasi yang serius seperti mengakibatkan sel-sel badan cedera, berlaku keradangan, darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting.
Mangsa strok haba boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular dan risiko kematian.
Jaga diri anda dan anak-anak anda daripada terdedah kepada sinaran matahari dan hadkan melkukan aktiviti di luar ketika cuaca panas terik. Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.