Polis Akan Buat Rondaan Aidilfitri, Periksa Rumah ‘Banyak Kereta’

“Kalau kita tengok banyak sangat kereta dekat sesebuah rumah, maka anggota kita akan mengadakan pemeriksaan, ada surat kebenaran untuk balik atau sebagainya.”

Begitulah yang dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.

Beliau berkata, rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri itu akan dilakukan bagi memastikan tiada mana-mana pihak ataupun individu yang dikesan merentas negeri tanpa kebenaran, sebagaimana yang dilaksanakan tahun lalu.

rondaan polis aidilfitri
Pemeriksaan rumah ke rumah PDRM & ATM tahun lalu

Menurut beliau, tindakan itu juga sebagai langkah memastikan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 berada pada tahap baik serta mengurangkan risiko jangkitan wabak pada musim perayaan.

Strategi yang sama itu dijangka akan digunakan dan ditambah baik memandangkan larangan rentas negeri masih berkuatkuasa sehingga kini.

Foto Kredit: BERNAMA

Menurut laporan Astro Awani, beliau berkata bahawa pematuhan SOP ada kalanya diingkari segelintir pihak dengan mengambil peluang merentas negeri ketika cuaca yang tidak mengizinkan pihak berkuasa melakukan kawalan dan pemeriksaan.

“Kadang-kadang bukannya disebabkan surat rentas negeri dan sebagainya, mereka yang terlepas (pemeriksaan) oleh kerana hujan lebat, anggota kita tidak dapat bertugas waktu itu (hujan) kerana membahayakan mereka, jadi mereka berlindung di pondok-pondok (keselamatan).

“Ketika itu (hujan), mereka (orang ramai) ambil kesempatan untuk melepas pemeriksaan,” kata beliau kepada pemberita semalam.

Abd Rahim sebelum itu melancarkan buku 69 Komando Lahad Datu Mac 2013 sempena lawatan kerja beliau di kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, dekat sini.

*Sumber: Astro Awani / BERNAMA


SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: