Bersedia Semua, Harga Ayam Dijangka Naik Lagi Mulai 1 Julai Ini!

Harga ayam dijangka naik bulan depan apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini.

“MOF akan laksanakan sesuatu untuk bantu mereka yang memerlukan, dalam berdepan dengan kenaikan harga ayam di pasaran,” katanya kepada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 16 Jun 2022.

harga ayam

Baca juga:

Skim Harga Maksimum Ayam Berakhir 30 Jun 2022

Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Sebelum ini dilaporkan pihak penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam.

Nanta berkata penamatan skim harga maksimum ayam bukan bermaksud kerajaan tidak mempedulikan pengguna, tetapi ia boleh menjejaskan industri ternakan ayam dalam jangka masa panjang, termasuk keadaan negara tidak lagi dapat mengeluarkan sumber ayam sendiri dan terpaksa mengimport.

“Sebab itu perlu diteliti secara mendalam, dan seharusnya kita hentikan harga maksima dan bantu pengguna yang berpendapatan rendah cara lain, bukan lagi subsidi pukal,” katanya.

Nanta dalam pada itu mengingatkan pemain industri agar tidak menggunakan kesempatan menerusi harga apungan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Apabila harga ayam diapungkan, katanya KPDNHEP akan turut memantau aspek harga dan jika perlu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya terdapat peniaga mencatut, yakni mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.

“Saya harap pihak industri tidak akan mengambil kesempatan dan menaikkan harga terlalu tinggi. Kita boleh terima sekiranya ia dilaksanakan dengan berpatutan, kerana kita pun tahu bahawa kos operasi telah meningkat,” katanya.

Pada majlis perhimpunan bulanan itu, Nanta menyerahkan watikah pelantikan kepada 12 daripada 16 Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) 2022-2023. Ditubuhkan pada 2000, MPPN dianggotai wakil persatuan pengguna, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan bagi membincangkan isu kepenggunaan.

BERNAMA

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: