Pening Kepala, Rasa Pusing & Berputar. Ramai Tak Sedar Ia Tanda ‘Vertigo’

Ramai yang kerap mengalami sakit kepala, pening dan terasa pusing tidak menyedari bahawa ianya satu kondisi yang dikenali sebagai vertigo.

Vertigo bukanlah sejenis penyakit, tetapi satu gejala yang terjadi sekiranya terdapat gangguan pada mekanisme keseimbangan badan manusia.

Jom ketahui lebih lanjut tentang kondisi ini melalui penerangan ahli farmasi, Siti Fatimah binti Ramli, Pegawai Farmasi di Hospital Teluk Intan, Perak.

Apakah Vertigo?

Pernahkah anda berasa diri atau ruang sekeliling berpusing-pusing, walaupun ketika itu anda dalam kedudukan statik?

Jika ya, inilah vertigo.

Vertigo

Berdasarkan artikel di portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat dua jenis vertigo iaitu vertigo sentral (berpusat) dan vertigo periferi.

Vertigo berpusat terjadi sekiranya terdapat masalah pada bahagian otak tertentu seperti serebelum dan brain stem yang mengawal keseimbangan badan.

Punca utamanya adalah migrain, penyakit multiple sclerosis, strok dan tumor.

Vertigo periferi pula terjadi apabila terdapat gangguan sistem di bahagian telinga dalam (vestibular) dan saraf yang menghantar maklumat ke otak.

Ini menyebabkan otak menjadi keliru dan mencetuskan vertigo.

Gejala

Antara gejala yang dialami adalah:

  1. Anda merasakan keadaan sekeliling anda bergerak.
  2. Sakit kepala
  3. Muntah-muntah
  4. Berpeluh-peluh
  5. Rasa bergoyang
  6. Bunyi desing di telinga
  7. Rasa kepala berpusing
  8. Rasa tidak seimbang
  9. Keadaan mata yang bergerak ke tepi (Nystagmus)

Gejala boleh bertahan selama beberapa minit sehingga beberapa jam.

Lazimnya ia akan hilang sendiri.

Vertigo

Rawatan

Terdapat dua kaedah rawatan untuk vertigo iaitu rawatan menggunakan ubat-ubatan dan bukan ubat-ubatan.

Rawatan vertigo berpusat bergantung kepada punca masalah tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya vertigo terjadi disebabkan oleh penyakit migrain, maka rawatan serangan akut dan pencegahan migrain diperlukan bagi memberikan kelegaan yang segera dan membantu untuk mengurangkan tahap kesakitan serta kekerapan serangan migrain.

Bagi masalah vertigo periferi pula, terdapat dua kategori ubat yang digunakan untuk menghilangkan gejala vertigo, iaitu ubat perencat vestibular dan ubat antiemetik.

Ubat perencat vestibular yang utama adalah antihistamin dan benzodiazepine.

Ubat-ubat ini hanya boleh diambil apabila gejala vertigo muncul.

Sekiranya ubat-ubat ini diambil secara berterusan, ia boleh menghalang proses adaptasi semula jadi otak terhadap input vestibular yang baru, seterusnya memburukkan lagi tahap gejala.

Antara contoh ubat antihistamin adalah dimenhydrinate dan diphenydramine. Ubat-ubatan ini merencatkan aktiviti neurotransmitter histamin, seterusnya mengurangkan tahap keterukan vertigo dan mabuk gerak (motion sickness). Mulut kering, mengantuk dan sakit kepala adalah antara kesan sampingannya.

Benzodiazepine pula menggalakkan aktiviti neurotransmitter perencat asid amino butirik Gamma (GABA) di dalam sistem vestibular.

Ia juga mampu mengurangkan gejala keresahan yang sering berlaku.

Kesan sampingan benzodiazepine adalah mengantuk, gangguan pada koordinasi badan dan memori.

Contoh ubat yang biasa digunakan adalah diazepam, lorazepam dan clonazepam.
Ubat antiemetik seperti metoclopramide dan promethazine digunakan untuk merawat gejala loya dan muntah.

Ubat ini perlu digunakan secara berhati-hati ekoran kemungkinan terjadinya kesan sampingan extrapyramidal (EPS) seperti kekejangan dan pergerakan otot diluar kawalan.

Rawatan antibiotik adalah tidak sesuai bagi merawat vertigo yang disebabkan oleh jangkitan virus pada struktur dalaman telinga.

Ubat antiviral juga tidak diperlukan kerana jangkitan tersebut kebiasaannya akan pulih sendiri.

Ubat steroid methylprednisolone diberikan untuk mengurangkan keradangan dan mempercepatkan proses penyembuhan fungsi vestibular.

Bagi pesakit Meniere’s (masalah bahagian telinga dalam), terdapat beberapa ubat pencegahan serangan vertigo.

  1. Ubat diuretik seperti kombinasi hydrochlorothiazide dan triamterene.
  2. Ubat betahistine iaitu sejenis histamin analog.

Ubat-ubatan ini mengurangkan tekanan cecair yang wujud di bahagian dalam telinga dan perlu diambil secara berterusan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh doktor.

Baca juga: Biskut Terkenal Didakwa Mengandungi Karsinogen Penyebab Kanser Kini Disiasat BKKM

Kesan Sampingan Ubat Juga Boleh Menyebabkan Vertigo

Terdapat kesan sampingan ubat yang boleh menyebabkan vertigo.

Antaranya adalah:

  • Antibiotik – kumpulan aminoglikosida, makrolida dan sulfamethoxazole.
  • Antikonvulsan – levetiracetam dan phenytoin.
  • Antiradang – celecoxib, naproxen dan prednisolone.
  • Antiviral – oseltamivir.
  • Ubat kardiovaskular – nifedipine, frusemide dan glyceryl trinitrate.

Sekiranya pesakit mengalami vertigo setelah pengambilan ubat-ubatan ini, jangan terus berhenti makan ubat tersebut tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi.

Segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan dapatkan nasihat agar kesan sampingan dapat diatasi serta pemilihan ubat yang lebih sesuai dapat diberikan kepada pesakit.

Vertigo

Pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum), sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan.

Pautan sumber asal & rujukan:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: