Panduan Solat Gerhana Matahari – Lengkap Bergambar
Panduan Solat Gerhana Matahari – JAKIM
Untuk makluman anda, Malaysia dijangkakan akan berpeluang untuk menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa pada 20 April 2023. Fenomena ini akan berlaku bermula 11:00 pagi hingga 1:30 tengah hari.
Tahukah anda, umat Muslim digalakkan untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari semasa berlakunya fenomena tersebut. Jom baca perkongsian dibawah mengenai solat gerhana matahari dengan lebih lanjut.
BACA JUGA: Gerhana Matahari Separa Di Malaysia Pada 20 April 2023
Maksud Solat Sunat Gerhana
Solat Sunat Gerhana juga dikenali sebagai Solat Kusuf atau Khusuf. Ia adalah merupakan solat sunat yang ditunaikan sekurang-kurangnya dua rakaat beserta khutbah. Solat sunat ini dilakukan ketika berlaku gerhana matahari ataupun bulan.
Pengertian Gerhana Matahari (Kusuf)
Kusuf ( كسوف ) bermaksud hilang, berkurangan cahaya matahari, terlindung sebahagian, atau keseluruhan cahayanya. Kadangkala gerhana matahari juga disebut sebagai Khusuf ( خسوف ). Namun perkataan ini lebih khusus pada gerhana bulan.
Solat gerhana disyariatkan berdasarkan beberapa ayat Allah dan hadis rasulNya.
Allah menyatakan dalam Surah Fussilat, ayat 37:
Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah adalah (Dia mencipta) malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah pula kamu sujud kepada matahari dan janganlah kamu sujud kepada bulan. Sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya kamu benar-benar menyembah Allah.
Waktu Solat Gerhana Matahari
Solat Gerhana Matahari boleh ditunaikan sewaktunya berlakunya permulaan gerhana matahari berlaku dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.
Waktu tamat solat gerhana matahari adalah apabila gerhana berakhir. Iaitu apabila matahari tidak lagi ditutup oleh bulan hingga menampakkan sepenuhnya wajah matahari.
Jumlah Rakaat
Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah.
Lafaz Niat
Maksudnya: “Sahaja aku Solat Sunat Gerhana Matahari dua rakaat kerana Allah Taala“
Panduan & Cara Menunaikan Solat Sunat Gerhana
Cara menunaikan solat sunat gerhana dari mempunyai sedikit perbezaan dari solat sunat yang lain.
Solat ini mempunyai 2 kali rukuk pada setiap rakaat. Bacaan tasbih pada setiap rukuk dan sujud diperbanyakkan sehingga 100 kali.
Anda boleh rujuk gambar rajah dibawah.
Sumber : Jabatan Mufti Sarawak via JAKIM Sarawak
Rakaat Pertama
- Takbiratul Ihram.Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Membaca surah al-Fatihah.
- Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat daripada mana-mana surah dalam al-Quran.
- Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 100 ayat. (Subhana Rabbiyal ‘AziiMi Wa Bihamdihi).
- Selepas selesai ruku’ pertama, maka lakukan Qiyam (berdiri sekali lagi) kali kedua pada Rakaat Pertama.
- Baca Surah al-Fatihah diikuti mana-mana surah dalam al-Quran.
- Setelah itu, teruskan dengan ruku’ kedua pada rakaat pertama.
- Seperti ruku’ pertama, pada ruku’ kedua juga dibacakan tasbih sebanyak 100 kali.
- Iktidal
- Sujud dan membaca tasbih (Subhana Rabbiyal A’la Wa Bihamdihi, 100 Kali)
- Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya)
- Sujud kedua pada rakaat pertama dan membaca tasbih (90 kali)
- Berdiri ke rakaat kedua.
Rakaat Kedua
- Rakaat kedua dimulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua)
- Membaca surah al-Fatihah dan diikuti membaca mana-mana surah.
- Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 70 ayat.
- Bangun qiyam kali kedua pada rakaat kedua.
- Selepas itu bacalah sekali lagi surah al-Fatihah dan diikuti membaca mana-mana surah.
- Ruku’ sekali lagi membaca tasbih kira-kira 70 ayat.
- Iktidal.
- Sujud dan membaca tasbih 70 kali.
- Duduk antara 2 sujud (Disunatkan untuk memanjangkan tempohnya)
- Sujud kembali. Pada sujud ini, disunatkan untuk membaca tasbih sebanyak 50 kali.
- Tahiyyat akhir.
- Memberi salam.
- Selepas selesai solat sunat gerhana, maka bacalah khutbah gerhana jika solat berjemaah.
Khutbah Solat Gerhana Matahari
Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir.
Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.