Gerhana Matahari Separa Di Malaysia Pada 20 April 2023
Tahukah anda, Malaysia bakal mengalami Gerhana Matahari Separa yang dijangkakan berlaku pada 20 April 2023 ini iaitu hari Khamis.
Pada tarikh yang sama, beberapa kawasan lain juga akan mengalami fenomena gerhana matahari namun sedikit berbeza dengan Malaysia.
Jom ketahui lebih lanjut mengenai info tersebut seperti yang dikongsikan di bawah.
BACA JUGA: Panduan Solat Gerhana Matahari – Lengkap Bergambar
Gerhana Matahari
Gerhana matahari terjadi apabila posisi bulan terletak di antara bumi dan matahari sehingga menyebabkan sebahagian atau seluruh cahaya matahari tertutup.
Berdasarkan cara tertutupnya matahari, terdapat empat jenis gerhana matahari:
- total
- cincin
- separa
- hibrid/campuran
Pada 20 April 2023, Malaysia dijangkakan bakal mengalami gerhana matahari jenis separa.
Gerhana Matahari Separa Di Malaysia
Di Malaysia, kita tidak dapat menyaksikan Gerhana Matahari Penuh / Gerhana Matahari Anulus kerana laluan bayang-bayang umbra dan antumbra Bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.
Kita hanya berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa mulai jam 11:00 am hingga 1:30 pm dengan litupan 2% di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan litupan semakin bertambah sehingga 43% di Sabah kerana bayang-bayang penumbra Bulan melalui di Malaysia pada waktu tersebut.
Pemerhati boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti TheSky, SkySafari, Stellarium dan lain-lain untuk melakukan simulasi sendiri di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu fenomena tersebut berlaku.
Anda boleh juga menyemak waktu dan laluan Gerhana Matahari tersebut dengan merujuk kepada peta gerhana interaktif oleh Xavier Jubier pada pautan berikut: http://xjubier.free.fr/…/HSE_2023_GoogleMapFull.html
NOTA:
Orang awam adalah dinasihatkan untuk menggunakan penuras khas bagi menyaksikan fenomena Gerhana Matahari.
Melihat terus ke arah Matahari tanpa menggunakan sebarang penuras yang sesuai adalah dilarang kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kerosakan mata atau mengakibatkan buta kekal.
Selain di Malaysia, Gerhana Matahari Separa juga boleh dilihat di Hindia Timur, Australia, Filipina dan New Zealand.
Gerhana Hibrid, Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Penuh
Fenomena Gerhana Matahari Hibrid pada 20 April 2023 dijangkakan akan berlaku di Hemisfera Selatan mulai jam 09:35:34.3 dan berakhir pada 15:00:31.9 waktu tempatan.
Gerhana Matahari Hibrid adalah gerhana yang sangat jarang berlaku, iaitu dianggarkan sekali setiap dekad di mana kedua-dua jarak Bulan dan Matahari ke Bumi perlu berada pada kedudukan tertentu untuk fenomena ini berlaku.
Gerhana Matahari Hibrid hanya berlaku 7 kali pada abad ke-21, iaitu pada tahun 2013, 2023, 2031, 2049, 2050 dan 2067. Ia dipanggil ‘hibrid’ kerana melibatkan ketiga-tiga kawasan bayang-bayang Bulan iaitu umbra, penumbra dan antumbra yang menggabungkan ketiga-tiga jenis gerhana matahari iaitu, Gerhana Matahari Penuh, Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Separa sepanjang laluan tengah gerhana.
Jenis gerhana yang kita dapat lihat adalah bergantung kepada lokasi pemerhati di sepanjang laluan gerhana tersebut (bahagian bayang Bulan yang kita berada).
Sementara itu, fenomena Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Penuh pula boleh dilihat di sebahagian Australia, Timor-Leste, Indonesia (Papua Barat dan Papua). Gerhana Anulus akan kelihatan dalam beberapa saat di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dengan gerhana maksimum di Exmouth, Australia Barat (~ 1 minit), Timor-Leste (1 minit 14 saat) dan Papua Barat (1 minit 9 saat).
Laluan gerhana selebar 49 km ini bermula di Lautan Hindi ketika Matahari terbit dan berakhir ketika Matahari terbenam di Lautan Pasifik dan hanya melintasi kawasan darat di sebahagian Australia Barat, Timor-Leste dan Papua Barat.
BACA JUGA: Pengumuman Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023 – JAKIM
Maklumat Lanjut
Untuk bacaan lanjut mengenai fenomena gerhana matahari ini, anda boleh rujuk pautan berikut: https://www.mysa.gov.my/gerhana-matahari-hibrid-pada-20-april-2023/