Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i): Permohonan & Syarat

Skim Saraan Bercagar (SSB-i)

Sistem Saraan Bercagar Islamik atau SSB-i adalah merupakan inisiatif yang diwujudkan untuk memberi kemudahan pembiayaan bayaran balik hartanah yang dimiliki. 

Jom baca info lebih lanjut mengenainya!

Skim Saraan Bercagar (SSB)

Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i): Cara Memohon & Syarat Kelayakan

Sebelum itu, mari ketahui mengenai Skim Saraan Bercagar (SSB) terlebih dahulu. 

Skim Saraan Bercagar (SSB) ialah sejenis pinjaman yang disasarkan untuk warga tua atau pesara yang memiliki rumah, dan membolehkan mereka menukar satu aset besar mereka — harta kediaman mereka — kepada aliran pendapatan bulanan tetap sepanjang sepanjang hayat mereka, tanpa mengorbankan pemilikan sambil terus tinggal di rumah mereka.

Skim ini telah diasaskan oleh Cagamas bermula pada bulan Januari 2022. Ia adalah produk pembiayaan pinjaman rumah pertama di bawah Cagaran Berhad (Perbadanan Gadai Janji Negara) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Skim ini diwujudkan sebagai salah satu inisiatif untuk menyelesaikan dilema kewangan kebanyakan pemilik rumah pesara di Malaysia. 

Dengan adanya skim ini, ia dapat membantu untuk menyara kehidupan individu selepas pencen dengan memberi pendapatan tetap setiap bulan sepanjang hayat melalui cagaran rumah.

BACA JUGA: Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) – Caruman Untuk Suri Rumah

Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i) 

Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i) pula adalah cabang daripada SSB yang berteraskan patuh syariah. 

Secara khususnya, Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i) adalah kemudahan pembiayaan bayaran balik patuh syariah berasaskan konsep Komoditi Murabahah.

Pemilik rumah yang menyertai SSB-i akan menerima bayaran tetap melalui cagaran rumah yang dimiliki sebagai jaminan. Bayaran ini akan terus dibayar sehingga kematian mereka atau sehingga mencapai usia 120 tahun. 

Bagaimana SSB dan SSB-i Berfungsi?

Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i): Cara Memohon & Syarat Kelayakan

SSB dan SSB-i berfungsi dengan cara, anda cagarkan rumah kediaman milik anda sama ada secara persendirian atau bersama untuk mendapatkan pendapatan tetap bulanan tanpa tempoh matang.

Walaupun rumah telah dicagar, anda masih dianggap pemilik hartanah dan boleh mendiami rumah tersebut tanpa bayaran balik sehingga anda meninggal dunia, barulah ia akan dijual oleh pihak Cagamas.

Usah risau, sekiranya selepas dijual (apabila anda telah meninggal dunia/berumur 120 tahun) semua lebihan keuntungan akan diserahkan kepada pewaris. Jika sebaliknya (hasil jualan kurang), pihak Cagamas akan menanggung baki pinjaman rumah anda 100%. 

BACA JUGA: Permohonan Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM)

Berapa Bayaran Bulanan Boleh Dapat?

Untuk mengetahui berapa bayaran bulanan yang anda boleh dapat, anda boleh cuba kira dengan menggunakan kalkulator yang disediakan Cagamas

Nilai bayaran yang anda akan terima adalah bergantung kepada beberapa faktor, antaranya:

  • Umur peminjam
  • Jika pinjaman bersama, umur peminjam yang lebih muda akan digunakan.
  • Nilai, lokasi dan jenis hartanah – Lebih tinggi nilai hartanah, lebih tinggi bayaran bulanan yang bakal diterima. 

Syarat Kelayakan Pemohon Skim Saraan Bercagar

Sila teliti syarat-syarat kelayakan di bawah sebelum anda membuat permohonan. 

A. Syarat Kelayakan (Peminjam)

  • Peminjam mestilah warganegara Malaysia
  • Peminjam wajib berumur 55 tahun dan ke atas.
  • Pemilik persendirian atau bersama bagi rumah kediaman yang dicagarkan.
  • Bagi pinjaman bersama, peminjam bersama boleh terdiri daripada rakan kongsi, ibu bapa, adik beradik atau anak, tertakluk kepada had umur.

B. Syarat Kelayakan (Hartanah) – SSB

  • Hartanah kediaman di Malaysia atas nama Peminjam (pemilikan bersama untuk Pinjaman RM bersama)
  • Peminjam diduduki dan tempat kediaman utama
  • Harta pegangan bebas atau harta pajakan dengan baki tempoh pajakan tidak kurang daripada 90 tahun
  • Tanpa beban dan bebas gadai janji

C. Syarat Kelayakan (Hartanah) – SSB-i

  • Hartanah kediaman di Malaysia yang dipegang atas nama Peminjam/Pelanggan.
  • Bagi permohonan bersama, pemilikan bersama diperlukan.
  • Pegangan Bebas atau Pajakan (baki tempoh tidak kurang daripada 90 tahun)
  • Hartanah mestilah diduduki pemilik dan menjadi tempat kediaman utama.
  • Hartanah bebas daripada gadai janji atau bebanan hutang.
  • Tidak tertakluk kepada sebarang Hibah (hadiah) termasuk Hibah Amanah
  • Nilai Harta : Tiada had. Walau bagaimanapun, untuk pengiraan jumlah pembayaran, hanya maksimum RM1.5 juta akan digunakan untuk kediaman bertingkat dan maksimum RM3 juta untuk kediaman atas tanah.

Cara Memohon SSB & SSB-i Cagamas

1. Walk-in ke mana-mana Cawangan Ditetapkan KWSP di bawah:

  • KWSP Kuala Lumpur
  • KWSP Petaling Jaya
  • KWSP Johor Bahru
  • KWSP Seberang Jaya
  • KWSP Ipoh
  • KWSP Seremban
  • KWSP Melaka

2. Ambil ujian pra-penilaian untuk menentukan kelayakan anda.

3. Buat temu janji dengan Penasihat Kewangan AKPK

4. Lengkapkan modul nasihat kewangan gadai janji terbalik (Reverse Mortgage) bersama-sama AKPK di mana-mana cawangan AKPK yang terdekat.

5. Akhir sekali, hantar borang permohonan anda untuk pinjaman Skim Saraan Bercagar (SSB) atau SSB-i kepada pihak Cagamas. Pastikan anda melampirkan borang pengesahan kehadiran AKPK serta dokumen sokongan lain yang berkaitan bersama-sama permohonan anda.  

Muat Turun Borang Permohonan Disini

Permohonan Dalam Talian (Online)

Kini, permohonan dalam talian (online) juga tersedia. Anda boleh layari pautan berikut untuk memohon secara online: https://digitalssb.cagamas.com.my/main-page 

  1. Semakan kriteria kelayakan (https://digitalssb.cagamas.com.my/eligibility-criteria)
  2. Temujanji dengan AKPK
  3. Menghadiri Kaunseling di Pejabat AKPK
  4. Penerimaan “Sijil Pegesahan Kehadiran” Daripada AKPK
  5. Hantar Permohonan

Kewajipan Peminjam / Pelanggan

  • Penyelenggaraan harta dengan baik
  • Pembayaran yuran berkaitan dengan penyelenggaraan hartanah seperti taksiran, cukai tanah, yuran penyelenggaraan, dana terikat untuk penyelenggaraan, bil utiliti dan lain-lain.
  • Tidak dibenarkan keluar daripada rumah melainkan atas sebab perubatan atau keadaan kesihatan yang semakin tua (persetujuan daripada Cagamas diperlukan)
  • Memaklumkan kepada Cagamas tentang sebarang perubahan mengenai butiran pelanggan dan penama

Peranan Penama

  • Sebagai pengantara untuk Cagamas apabila peminjam meninggal dunia
  • Memaklumkan kepada Cagamas apabila peminjam/pelanggan meninggal dunia
  • Menerima surat/notis yang dihantar oleh Cagamas apabila peminjam/pelanggan meninggal dunia

Maklumat Lanjut & Pertanyaan 

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut, sila layari laman web Cagamas: https://ssb.cagamas.com.my/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: