SIP Prihatin 2.0: Elaun Mencari Pekerjaan RM300 Sebulan
PEMULIH: Perluasan pemberian insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) kepada bukan pencarum PERKESO.
Kerajaan akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan itu boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300.
“Kerajaan akan memperuntukkan RM125 juta melalui HRD Corp. untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.
“Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20,000 pencari pekerja dalam ekonomi gig,” katanya dalam perutusan khas pengumuman bantuan itu, hari ini.
Berikut dikongsikan maklumat lanjut tentang Elaun mencari Pekerjaan PERKESO dan cara membuat permohonan.
Apakah Elaun Mencari Pekerjaan (SIP PRIHATIN 2.0) PERKESO?
Menerusi Belanjawan 2021, Kerajaan telah memperkenalkan bantuan kewangan SIP Prihatin menerusi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) untuk membantu pekerja yang mencarum dengan PERKESO dan kehilangan pekerjaan meneruskan kelangsungan hidup serta mendapatkan peluang pekerjaan baharu.
Kini, bantuan segera ini turut diperluaskan kepada golongan bukan pencarum PERKESO termasuk graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal melalui SIP PRIHATIN 2.0.
Baca juga: Selalu Lupa Kata Laluan? Ini Cara Set Semula Password Melalui ‘Phone Memory Restore’
Syarat Kelayakan
Syarat Kelayakan Umum :
- Golongan yang hilang pekerjaan dan tidak dilindungi oleh Sistem Insurans Pekerjaan (PERKESO).
- Golongan yang menganggur.
- Berdaftar dan aktif menjalankan aktiviti mencari pekerjaan melalui portal MyFutureJobs.
- Menghadiri temuduga PERKESO.
Bagi melayakkan mereka menerima bantuan ini, pemohon perlu :
- mendaftar di portal pekerjaan MYFutureJobs yang diuruskan PERKESO agar usaha pencarian pekerjaan mereka dapat dibantu dan dipantau oleh PERKESO.
- menghadiri sekurang-kurangnya tiga temuduga dalam sebulan, sama ada secara fizikal atau dalam talian
Nilai Bantuan / Insentif Yang Diterima
Pemohon yang memenuhi syarat-syarat ini dan membuat pendaftaran akan melayakkan mereka menerima insentif EMP sebanyak RM300 sebulan selama tempoh 2 bulan.
Sekiranya pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, insentif tambahan sebanyak RM400 akan diberikan kepada mereka. (Jumlah RM1000)
PERKESO menyasarkan seramai 229,000 pencari kerja akan mendapat manfaat daripada bantuan ini.
Tarikh Pendaftaran
Pendaftaran untuk program ini telah bermula pada 15 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.
Cara Pendaftaran SIP PRIHATIN 2.0 PERKESO
Cara pendaftaran SIP PRIHATIN 2.0 adalah seperti berikut:
- Daftar dan lengkapkan profil di Portal MYFutureJobs
- Daftar di Aplikasi Prihatin bagi tujuan bayaran insentif mengikut kelayakan
- Hadiri Program Temuduga & Kemaskini Log Aktiviti di Portal MYFutureJobs (Akaun Pengesahan Syarikat perlu dilampirkan sekiranya menghadiri temuduga bukan anjuran PERKESO)
- Kemaskini tarikh Kembali Bekerja di aplikasi Prihatin PERKESO sekiranya anda telah berjaya mendapat pekerjaan
- Terima bayaran mengikut aktiviti yang dijalankan
Maklumat Lanjut
Soalan-soalan lazim (FAQ) bagi setiap inisiatif di bawah PEMULIH boleh dirujuk di bawah:
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Careline PERKESO 1300-22-8000 atau layari laman web PERKESO di www.perkeso.gov.my.
*Sumber: Kenyataan Media PERKESO (PEMULIH)
- https://www.perkeso.gov.my/images/pemulih/sip_prihatin_2
- https://www.myfuturejobs.gov.my/ms/sip-prihatin-perlanjutan-elaun-mencari-pekerjaan/
Baca juga: PSU 4.0: Permohonan Program Subsidi Upah, Bayaran RM600 / 4 Bulan