Che’ Puan Besar Khaleeda Gesa Siasat Semula Kes Bayi Syifa
KESAN JERUTAN BUAIAN MERAGUKAN, KESAN GARIS LURUS MENYERUPAI WAYAR @ TALI
Masihkah anda ingat lagi kisah bayi yang meninggal dunia di rumah pengasuh akibat terjerut buaian?
Pada 23 Februari 2022 yang lalu, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan telah meninggal dunia setelah ditemui tidak sedarkan diri dengan kepala dan lehernya terjerut pada kain buaian dikatakan sebelum ini tidak pernah tidur dalam buaian.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 39, berkata, anak bongsunya itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berada dalam keadaan baik sebelum dihantar ke rumah pengasuh pada pagi hari kejadian tersebut.
Difahamkan bayi itu telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh di mana bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.
Sebelum ini, bapa bayi Yuseri Yusoff telah membuat satu hantaran di Facebook untuk memohon agar kes ini disiasat semula.
Menurutnya, kes ini masih belum dituduh di mahkamah sehingga hari ini dan apa yang menimbulkan keraguan adalah kesan lebam pada leher anaknya, Syifa.
Katanya, kesan lebam tersebut yang berbentuk satu garisan lebih menyerupai jerutan tali, wayar, atau kabel.
Terkini, isteri Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam membuat gesaan menyiasat semula kes itu menerusi hantarannya di Instagram, semalam.
Dalam hantaran pertama pada petang semalam, Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi hantaran bapa kepada bayi berkenaan, Yuseri Yusoff yang memuat naik gambar kecederaan bayi terbabit serta laporan bedah siasat yang meragukan dengan peringatan mengenai tarikh sebutan semula kes inkues di Mahkamah Koroner Seremban, 29 Jun ini.
Che’ Puan Besar Khaleeda yang meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa turut menandakan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun.
Hantaran kedua Che’ Puan Besar Khaleeda juga menyuarakan pendapatnya yang melihat kecederaan bayi itu yang dikatakan akibat terjerut tali buaian seperti tidak masuk akal.
“Bagi saya tidak masuk akal ‘Baby’ (bayi) Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret,” tulisnya.
Che’ Puan Besar Khaleeda kemudiannya berkongsi lagi hantaran Yuseri yang dibuat pada 24 Mac lalu dengan mempersoalkan bagaimana seseorang boleh melakukan tindakan sebegitu kepada seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.
Sumber: METRO
‘Bukan Terjerut Buaian, Tapi Dijerut’ Bapa Mohon Siasat Semula Kes Bayi Syifa
Berikut dikongsikan hantaran penuh oleh bapa mangsa, Yuseri Yusoff yang pernah dikongsikan sebelum ini:
Dihari jumaat yg penuh barakoh, moga ada keadilan buat babysyifaa. Ya allah, kau tunjukanlah kebenarannya
BABY SYIFAA DIJERUT BUKAN TERJERUT !!
Menurut siasatan polis, Pengasuh mengatakan Baby Syifaa terjerut buai selepas diberikan susu sekitar jam 12.30 tengah hari.
Pengasuh masuk memeriksa Baby Syifaa sekitar jam 3.00 petang dan melihat Baby Syifaa terjerut di dalam buai dalam keadaan tergantung.
Namun, sejak hari pertama aku tidak percaya sepatah kenyataan dibuat oleh pengasuh kepada Baby Syifaa kerana aku tahu beliau berbohong!
Polis membuat siasatan berdasarkan kronologi yang diceritakan oleh Pengasuh dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 tapi sehingga ke hari ini kes belum dituduh di mahkamah.
Buai yang menjerut Baby Syifaa adalah buai kain yang seperti “jaring”. Itulah yang dikatakan oleh Pengasuh semasa siasatan polis.
Tapi timbul keraguan, kain yang menjerut leher tidak meninggalkan kesan (lebam) berbentuk satu garisan lurus.
Tak percaya, cuba ambil kain jerut leher sendiri. Tidak perlu lama, cukup 2 minit. Kain tidak akan tinggalkan lebam lurus satu garisan.
Kesan lebam pada leher Baby Syifaa adalah kesan tali wayar atau kabel. Selain itu, tiada kesan “jaring” pada leher Baby Syifaa.
Aku tak mahu bising sebelum ini kerana memang aku tunggu dan lihat apa tindakan akan berlaku dalam 30 hari.
Hari ini adalah hari ke 32 hari permergian Baby Syifaa dan memandangkan pengasuh belum dibawa untuk dibacakan pertuduhan di mahkamah malah pengasuh tidak ditahan reman sejak hari pertama kejadian.
Aku mohon supaya kes kematian Baby Syifaa disiasat semula dan diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Gambar kesan kecederaan pada leher Baby Syifaa ini dihantar kepada pakar forensik di luar negara. Tahu apa pandangan mereka selepas melihat gambar ini?
Pakar forensik berpandangan kesan jerutan di leher Baby Syifaa bukannya akibat jerutan kain tetapi kesan yang berpunca jerutan tali, wayar atau kabel.
Justeru…
Siasat semula kes kematian Baby Syifaa, Polis perlu siasat kedua-dua Pengasuh, kedua-dua suami selain seorang lagi adik perempuan kepada Pengasuh yang kononnya tidak bertugas sepanjang bulan Februari.
Jika aku boleh fight untuk orang lain, mustahil untuk aku berdiam diri dalam kes yang membabitkan anak aku sendiri.
Aku akan membuat permohonan rasmi kepada AGC dengan menghantar surat supaya kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Aku bersandarkan hujah-hujah dan pandangan pakar forensik serta gambar kesan pada leher Baby Syifaa.
Siasat semua orang yang ada akses untuk memasuki Taska pada hari kejadian. Jika Polis tak mampu untuk siasat kes Baby Syifaa betul-betul serta AGC segan untuk membuat pendakwaan kes.
Sila beritahu aku!
Sebab aku ada cara sendiri untuk mendapatkan hak dan keadilan di atas kematian Nour Rania Asyifaa Bt. Yuseri.
Hutang budi dibalas budi, hutang darah..?
Tuan-Puan, saya amat tidak selesa berkongsi gambar ini. Namun saya tiada pilihan kerana pemergian Baby Syifaa perlu mendapat pembelaan sewajarnya.
Maafkan Daddy Adik..
Justice Delayed is Justice Denied!
Sumber posting asal: Facebook Yuseri yusoff
Lihat berita lama tentang laporan kematian Bayi Syifa pada 22 Februari 2022 :
Bayi 15 Bulan Meninggal Dunia Terjerut Buaian (22 Februari 2022)
SEREMBAN: Bayi perempuan berusia 15 bulan yang meninggal dunia setelah ditemukan tidak sedarkan diri dengan kepala dan lehernya terjerut pada kain buaian dikatakan sebelum ini tidak pernah tidur dalam buaian.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 39, berkata, anak bongsunya itu, Nour Rania Asyifaa Yuseri, berada dalam keadaan baik sebelum dihantar ke rumah pengasuh pada pagi hari kejadian semalam.
“Sebelum ini, anak saya tidak pernah tidur dalam buaian tapi ketika kejadian pengasuh letakkan dalam buaian kerana dia susah hendak tidur.
“Saya terkejut apabila isteri hubungi memaklumkan pengasuh beritahu anak sudah tidak bernafas dan mereka hantar ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang, selepas setengah jam doktor beri bantuan pernafasan anak sudah ‘tiada’,” katanya.
Yuseri memberitahu pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, Nour Rania Asyifaa Yuseri, kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan di sini.
Kejadian itu menjadi ujian berganda kepada pasangan berkenaan apabila pernah kehilangan anak kedua mereka ketika masih bayi pada 2020.
Yuseri berkata, dia menghantar anaknya ke pusat jagaan berkenaan sejak setahun lalu malah anak sulung berusia tujuh tahun juga pernah dihantar ke pusat jagaan sama sebelum ini.
“Saya terima kejadian ini kerana perkara sudah berlaku, yang selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian ini dan difahamkan pihak polis ada merakamkan percakapan ibu bapa lain yang menghantar anak ke pusat jagaan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata bayi tersebut, disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan selepas pengasuhnya mendapati dia gagal bernafas.
Nanda berkata, hasil siasatan awal mendapati selepas bayi itu diberikan susu pada pukul 12.30 tengah hari mangsa telah ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.
“Selepas itu pengasuh telah keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain kemudiannya pada 3 petang pengasuh telah masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
“Pengasuh terus mengambil bayi itu dari buaian dan menjalankan ujian proses bantuan pernafasan (CPR), tetapi dia gagal bernafas semula dan terus membawanya ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nanda, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan rumah penjagaan atau pengasuh kanak-kanak.
“Bayi itu telah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik kedua rumah pengasuh di mana bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada dalam buai.
“Ketika kejadian, dua pengasuh berada di dalam rumah bersama-sama 15 orang kanak-kanak lain termasuk bayi itu,” katanya yang memberitahu tempat kejadian tidak dipasang kamera litar tertutup (CCTV).
Nanda berkata, rumah pengasuh itu yang dimiliki oleh kedua-dua pengasuh telah beroperasi sejak penghujung tahun 2019 dan menjaga kanak-kanak berusia enam bulan hingga tujuh tahun.
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/02/bayi-15-bulan-meninggal-terjerut-pada-buaian/
Baca juga: 4 Sekeluarga Maut Akibat Renjatan Elektrik Pemanas Air Ketika Mandikan Bayi