Viral Kekasih Putuskan Hubungan Kerana Pembawa Talasemia, Doktor Jelaskan Sebabnya
Lepas 3 Tahun Bercinta, Pasangan Kekasih Terpaksa Putus Hubungan Kerana Kedua-duanya Pembawa Talasemia
Sebelum berkahwin, ramai sedia maklum bahawa bakal pengantin perlu melakukan ujian darah untuk memastikan sama ada pasangan tersebut mempunyai HIV atau tidak kerana ia adalah salah satu syarat untuk berkahwin di Malaysia.
Tapi pernahkah anda dengar tak tentang penyakit Talasemia? Ia adalah penyakit berkaitan darah yang diwarisi secara genetik yang menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal.
Kesannya juga secara tak langsung akan membuatkan saluran bekalan oksigen dan nutrien dalam badan jadi terganggu.
Disebabkan hal inilah sepasang kekasih di Indonesia memutuskan untuk berpisah dan kisah tersebut telah dikongsikan oleh @szasaccount di TikTok.
Menerusi video tersebut, pengguna TikTok ini memberitahu yang dia bersama kekasihnya sudah bercinta selama 3 tahun sebelum kedua-duanya mendapat tahu yang mereka pembawa gen talasemia minor.
Bimbang ia akan membawa risiko tinggi kepada anak-anak jika hubungan mereka diteruskan, pasangan ini akhirnya memutuskan untuk berpisah.
Selepas berbincang, pasangan ini kemudian memilih untuk menjadi sahabat baik dan menjadikan hari terakhir mereka pada majlis perkahwinan abang teman lelaki tersebut.
Video yang mendapat lebih 363,000 likes ini menerima pelbagai komen positif daripada netizen dan ada juga memuji pasangan ini kerana memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya membuat ujian thalassemia sebelum berkahwin.
Apa-apapun ramai juga yang mendoakan semoga kedua-duanya bertemu dengan pasangan yang sesuai di masa hadapan.
Sebagai info, individu yang telah disahkan sebagai pesakit talasemia perlu memastikan pasangan hidup bukanlah pembawa gen penyakit ini kerana dibimbangi anak-anak bakal menghidap Beta Thalassemia Major.
Penghidap penyakit ini memerlukan rawatan sepanjang hayat kerana penghasilan darah merah yang kurang dan tak dapat berfungsi secara optimum.
Nak tahu lebih lanjut tentang talasemia dan ujian talasemia? Ikuti penerangan oleh Dr Kamarul Arifin Nur Sadan di bawah:
Talasemia: Punca, Rawatan & Kepentingan Ujian Talasemia Sebelum Berkahwin
Apabila tular kisah sepasang kekasih yang mengambil keputusan untuk putus hubungan setelah mengetahui kedua-duanya adalah pembawa talassemia, maka penyakit ini menjadi topik bualan netizen.
Antara persoalan yang timbul: Kenapa mereka perlu putuskan hubungan? Kalau kahwin juga, apa bakal terjadi? Macam mana mereka boleh dapat penyakit talasemia?
Saya cuba ringkaskan agar mudah difahami.
- Thalassemia (talasemia) adalah penyakit genetik (keturunan) yang berbahaya. Ia menjejaskan penghasilan darah, sehingga ia tidak mencukupi untuk kehidupan yang normal.
- Terdapat beberapa jenis talasemia, antaranya talasemia alfa dan talasemia beta. Setiap satunya ada pecahan masing-masing. Kita akan fokus perbincangan kita kepada talasemia beta.
- Talasemia beta terbagi kepada 2:
- Thalassemia major
- Thalassemia minor
- Terdapat juga: Thalassemia intermedia (pertengahan).
- Individu yang mempunyai thalassemia major dipanggil pesakit talasemia. Pesakit talasemia mempunyai gejala: cepat letih, pucat, sesak nafas, perkembangan fizikal terjejas, dll.
- Individu yang mempunyai thalassemia minor dipanggil pembawa. Pembawa talasemia lazimnya tidak bergejala, dan hanya menunjukkan tanda-tanda dalam keadaan tertentu.
- Bila 2 pembawa thalassemia berkahwin, maka :
▪️25% risiko anak = pesakit (major)
▪️50% risiko anak = pembawa (minor)
▪️25% anak = normal - Mengapa kita perlu khuatir dengan risiko anak menjadi pesakit thalassemia (major)? Kerana rawatannya panjang, rumit dan memerlukan kos yang tinggi. Ia juga menjejaskan kualiti hidup mereka.
- Rawatan thalassemia major:
- Transfusi darah 2-4 minggu sekali
- Terapi chelation (buang zat besi terkumpul)
- Splenectomy (buang limpa: jika perlu)
- Rawatan hanya boleh dihentikan sekiranya pesakit menjalani pemindahan sum-sum tulang. Itupun ada tidak semuanya berjaya. Jika gagal, transfusi dan chelation dilakukan sepanjang hayat.
- Oleh kerana rawatannya rumit, talasemia perlu dicegah. Caranya, adalah dengan menyaring pasangan yang ingin berkahwin, untuk menilai sama ada mereka ada genetik talasemia atau tidak.
- Saringan talasemia dibuat dengan melakukan ujian darah. Ia disaring pada semua kerana pembawa biasanya tiada gejala. Jadi pengecaman melalui pantauan gejala tidak mencukupi
- Jika kedua-dua pasangan didapati adalah pembawa talasemia, maka pasangan akan diberi konsultasi tentang penyakit ini, diterangkan risiko berkenaan zuriat, dan sebagainya.
- Pasangan tidak akan dipaksa putuskan hubungan. Malah pasangan akan membuat keputusan berdasarkan informasi yang telah diberi, dan hasil perbincangan mereka sendiri.
- Keputusan yang boleh dibuat oleh pasangan.
- Tidak berkahwin
- Kahwin, rancang tiada anak (biological)
- Kahwin, dapatkan anak, dan sedia hadapi risiko.
- Kempen kesedaran tentang thalassemia kini giat dijalankan. Saringannya juga bukan sahaja dibuat kepada pasangan yang hendak berkahwin sahaja, malah telah dibuat di sekolah.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan
(Pautan Sumber Asal: https://www.facebook.com/107029227436167/posts/488438072628612/)