Ramai Keliru Jadi Ahli RELA Walaupun Tak Pernah Daftar. Ini Penjelasannya

Hari ini di media sosial menjadi tular apabila ramai yang mendapati nama mereka sebagai ahli RELA dalam Portal Semakan MyRELA.

Hal ini adalah sesuatu yang mengejutkan kerana rata-rata kebanyakan daripada mereka tidak pernah membuat pendaftaran keahlian.

Semakan di laman web rasmi tersebut boleh dibuat dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan masing-masing pada pautan berikut:

Menurut sumber dari Amanz.my, RELA Malaysia menjelaskan bahawa pengambilan anggota RELA secara besar-besaran ada dibuat pada tahun 2012 menerusi ruangan komen di Facebook.

Difahamkan mungkin pada masa tersebut pihak RELA telah menerima senarai nama yang didaftarkan terus ke dalam sistem.

Walaubagaimanapun, jika seseorang yang tersenarai tidak berminat untuk menjadi anggota RELA, anda boleh membuat pembatalan ahli di dalam sistem.

RELA juga turut meminta maaf atas kekeliruan yang berlaku.

Pengguna media sosial mengajukan pelbagai soalan di Facebook RELA Malaysia kerana takut jika berlaku penyalahgunaan nombor kad pengenalan dan keahlian mereka sedangkan mereka tidak pernah menyedarinya.

UPDATE: Pihak RELA telah membuat kenyataan rasmi berhubung isu tular ini.

Sila rujuk Kenyataan Rasmi RELA Susulan Isu Tular Pendaftaran Automatik Sebagai Anggota RELA – 15 Jun 2021

Cara Semakan Ahli RELA

Jadi, sudahkah anda membuat semakan?

Jika belum, anda boleh membuat semakan ahli RELA dengan melayari laman web berikut:

https://myrela.moha.gov.my/myrelamobile/rela/semak atau https://myrela.moha.gov.my/

Kalau dah alang-alang tersenarai dalam RELA tu, jom ambil tahu sedikit apa sebenarnya RELA dan adakah kelebihan jika kita menjadi ahli RELA.

Di sini kami lampirkan info daripada Soalan Lazim dari laman web Kementerian Dalam Negeri (MOHA), iaitu Kementerian yang mengendalikan pengambilan ahli RELA.

Apakah RELA?

RELA adalah Jabatan Sukarelawan Malaysia yang berfungsi:

  • Sebagai duta kecil kerajaan dalam penyebaran dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
  • Melaksanakan jaringan kerjasama dengan pasukan keselamatan dan lain-lain agensi penguatkuasaan.
  • Menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan sosio-ekonomi setempat.
  • Membangunkan modal insan melalui latihan yang bersesuaian.

Faedah Keahlian RELA

Keahlian Anggota RELA akan mendapat kelebihan dari segi :

  • Caj rawatan dan kemudahan wad percuma bagi anggota-anggota yang terlibat dalam kemalangan ketika bertugas.
  • Perlindungan insurans sekiranya terlibat dalam kemalangan ketika bertugas.
  • Latihan percuma di pusat-pusat latihan.
  • Elaun latihan dan bertugas RM6 sejam.
  • Uniform diberikan secara percuma.
  • Keahlian adalah percuma.
semakan rela malaysia

Soalan Lazim Tentang RELA

Berikut adalah soalan-soalan yang sering diajukan oleh pengunjung Portal Kementerian Dalam Negeri.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lain sila hubungi talian 03- 8886 8533 atau e-mel kami di [email protected]

Apakah RELA?

Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dahulunya dikenali sebagai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia ialah sebuah persatuan sukarelawan beruniform di Malaysia yang ditugaskan untuk membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan negara.

Saya ingin menjadi anggota RELA. Apakah syarat-syaratnya?

a. Warganegara Malaysia (mempunyai MyKad)
b. Berumur 18 tahun ke atas
c. Sihat tubuh badan
d. Tidak menganggotai mana-mana pasukan sukarelawan lain yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis
e. Tiada rekod jenayah

Apakah saya diberikan elaun sekiranya saya menjadi anggota RELA ?

RELA ditubuhkan atas semangat kesukarelaan. Itulah menjadi asas kekuatan pasukan RELA sehingga hari ni. Walaubagaimanapun, anggota RELA akan dibayar elaun sekiranya mereka terlibat dengan penugasan dan tugasan kawalan samada di peringkat daerah atau negeri. Bayaran elaun adalah tertakluk kepada kadar bayaran elaun semasa jabatan.

Apakah dikenakan sebarang bayaran untuk menjadi anggota RELA?

Pendaftaran anggota RELA adalah percuma.

Saya dengar dengan menjadi anggota RELA , kita akan diberikan senapang patah ?

Pemilikan senjata tidak dianugerahkan kepada semua anggota. Permohonan seseorang anggota RELA bagi memiliki senjata adalah tertakluk kepada pertimbangan dan sokongan dari Pegawai RELA Daerah berkaitan dan seseorang hendaklah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan. Namun begitu, pihak Polis mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sesuatu permohonan itu.

Adakah saya perlu menjalani latihan atau kursus ?

Semua anggota RELA berpeluang mengikuti Kursus Pengenalan selama dua (2) hari yang dianjurkan oleh Pejabat RELA Daerah. Kursus ini akan mendedahkan seseorang anggota RELA itu tentang tugas dan tanggungjawab RELA masa kini. Anggota-anggota RELA boleh memohon untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan di mana-mana Pusat Latihan RELA seluruh Malaysia.

Adakah saya akan diberikan pakaian seragam ?

Pakaian Operasi Digital (POD) akan diberikan secara percuma kepada semua anggota RELA. Sila berhubung dengan Pejabat RELA Daerah berdekatan anda untuk maklumat lanjut.

Apakah keistimewaan jika menjadi seorang anggota RELA ?

a. Caj rawatan dan kemudahan wad percuma bagi anggota-anggota yang terlibat kemalangan semasa bertugas
b. Perlindungan insurans sekiranya terlibat kemalangan ketika bertugas
c. Latihan percuma di pusat-pusat latihan
d. Elaun latihan dan bertugas mengikut kadar bayaran elaun semasa jabatan
e. Pakaian seragam percuma
f. Keahlian percuma

Apakah kebajikan yang disediakan bagi seseorang anggota RELA.

Kebajikan setiap anggota RELA akan diberikan keutamaan. Setiap anggota RELA akan mendapat kelayakan rawatan Kelas Dua di mana-mana hospital kerajaan sekiranya mengalami musibah ketika bertugas. Mereka juga berpeluang mencarum dalam insurans berkelompok yang disyorkan oleh RELA.

Selain itu, mereka mendapat sedikit imbuhan dari Tabung Amal Jariah RELA berdasarkan jenis musibah yang dialami. Kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan insurans percuma kepada 100,000 anggota RELA yang aktif diseluruh negara sebagai insentif kepada sumbangan mereka. Bagi anggota RELA yang terkorban ketika bertugas, pertimbangan boleh dilakukan untuk membolehkan mereka mendapat pampasan dari Tabung Amanah Perwira Negara.

Maklumat lanjut:

Baca juga: MySPR: Pendaftaran, Tukar Tempat Mengundi & Semakan Pengundi Baru

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: