Sajak Merdeka – Koleksi Terbaik Karya Sasterawan Negara

Sajak Merdeka 2023 – Koleksi Terbaik Karya Sasterawan Negara | Sempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba tidak lama lagi, berikut dikongsikan beberapa koleksi sajak merdeka yang terbaik hasil karya sasterawan negara kita.

Semoga koleksi sajak merdeka ini boleh menjadi inspirasi untuk semua rakyat Malaysia untuk menyemarakkan lagi rasa cinta pada tanah air kita.

BACA JUGA: Koleksi Pantun Merdeka 4 Kerat Yang Menarik 2023

Koleksi Sajak Merdeka Karya Sasterawan Negara

Nukilan: A. Samad Said

Datuk A Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said adalah salah satu sasterawan terulung negara. Beliau masih lagi aktif berkarya sehingga kini walaupun umurnya kini sudah hampir mencecah 90 tahun. Beliau lahir pada 9 April 1935.

1. Tajuk: Erti Sebuah Kemerdekaan

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

2. Tajuk: Erti Kemerdekaan

Kita mencari hanya yang tulen dan jati
sekadar hidup mengerti dan berbudi
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama

tanah air memberi banyak
mesra mendakap kita
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti
dan dalam alaf baru
semangat kita wajar padu berjalan kita
atas nama tanah air dan bangsa
bangga kerana merdeka
megah kerana bahagia.

Nukilan: Usman Awang

Usman Awang adalah seorang tokoh kesusasteraan Melayu moden.Beliau juga terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant.

1. Tajuk: Damai (Tanahairku Dunia)

Sisa hidup ini hendak kita pelihara
juga tanah, pohon dan buah-buah
juga tulang, daging dan darah
jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api
lama bermula, tidak hilang sampai kini
dan meski tawaran damai sudah diberi
orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih
rebutan manusia daerah asing
kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai – seruan dan tawaran
damai – untuk tanah air ku dan kemerdekaan
damai – untuk dunia dan kesejahteraan!

2. Tajuk: Pahlawan Dan Tanahair

Pahlawan sejati
dalam hatinya bernyanyi.
Tanahair dan bangsa
di mana terpaut cinta mulia.

Untukmu darah ini mengalir
padanya jasad ini cair

Nukilan: A. Aziz Deraman

Datuk Haji Abdul Aziz Deraman (lahir 1948) adalah seorang penggiat sastera, penulis dan pegawai perkhidmatan awam Malaysia yang berasal dari Kelantan.

Tajuk: Lidah bangsa

Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.

Nukilan: Siti Zainon Ismail

Datuk Dr. Siti Zainon Ismail merupakan seorang pengarang, pengkaji seni budaya warisan Melayu, seniman, penyair, pelukis Malaysia dan tokoh Sasterawan Negara Malaysia yang ke-14.

Tajuk: Senja Hari Merdeka

Seluruh kota gemerlap cahaya
tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
laungan pertama, ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban
memusnahkan warisan


Nukilan: Zainal Abidin Ahmad BTP

Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad juga dikenal dengan nama Za’ba adalah seorang ahli bahasa serta perintis tata bahasa Melayu Malaysia. Disamping menulis, beliau juga banyak melakukan penerjemahan, penerbitan buku sekolah dan bacaan umum.

Tajuk: Menyambut Merdeka

Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.

Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.

Nukilan: Zurinah Hassan

Datuk Dr. Zurinah Hassan merupakan salah seorang penyair dan tokoh Sasterawan Negara. Beliau dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014 yang membawa gelaran Datuk.

Tajuk: Dilema Melayu

Maka bangkitlah seorang Hang Jebat
suaranya meningkah angin
melantun ke anjung istana Melaka
“ Raja adil raja disembah,
raja zalim raja disanggah.”

Terkejut Hang Tuah mendengar berita penderhakaan
gementar tubuhnya menyambut titah sultan
sambil tunduk memikirkan
Hingga air matanya mengalir
tidak tertahan-tahan
dadanya bagai akan pecah
dihempas gelombang serba salah.

Alangkah sukarnya membuat keputusan
untuk setia kepada raja yang zalim,
dan menzalimi kawan yang setia.

Bukan mudah untuk membuat pertimbangan
di antara membantah seorang tuan,
dan pentingnya mempertahankan ketuanan
melawan kerenah seorang raja
dan memelihara sebuah kerajaan.

Barangkali
apa yang kau pentingkan bukan seorang raja untuk hari ini
tetapi apa yang lebih aku bimbangkan
ialah bangsaku pada hari esok.

Sebuah lagi sajak saya yang dirangsang oleh episod pertikaman Tuah dan Jebat ialah Korban Hang Tuah

Jebat, tahukah kau betapa terseksanya aku
bila Bendahara membawa khabar tentang penderhakaanmu.

Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu ke badanmu.

Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.

Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayanganku sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.

Biarkanlah
kuharap disuatu waktu nanti
bila bangsaku berpecah belah
mereka akan menyedari
bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa
yang kupertahankan bukan raja
tetapi kerajaannya
tanpa kerajaan tidak kan wujud sebuah negara
tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.

Jebat, aku mungkin tidak begitu bijaksana
tetapi inilah usaha terakhirku
agar tanah airku tidak akan hilang kerajaanya
bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
dan Melayu tidak akan hilang di dunia.

BACA JUGA: Senarai Bangunan Bersejarah di Malaysia – Setiap Negeri

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: