‘Tiada Nasihat Lagi, Cubaan Rentas Negeri Sambut Ramadhan Akan Terus Disaman’
MELAKA – Tindakan saman akan dikenakan terhadap individu yang dikesan cuba merentas negeri untuk balik ke kampung bagi menyambut hari pertama Ramadan, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.
Pemeriksaan Lebih Ketat Di Semua Sempadan Negeri
Beliau berkata, pemeriksaan ketat di semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri akan dipertingkatkan dan hanya mereka yang mempunyai dokumen kebenaran rentas negeri yang lengkap dan diluluskan dibenar meneruskan perjalanan.
“Saya percaya hujung minggu ini akan terdapat peningkatan pergerakan di jalan atau lebuh raya untuk pulang ke kampung bagi meraikan hari pertama Ramadan memandangkan tahun lepas mereka tidak dapat pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan.
Baca juga: PKP 2.0: Contoh Surat Kebenaran Rentas Negeri / Daerah Bagi Urusan Kecemasan
Tindakan Akan Terus Dikenakan Bagi Individu Cuba Rentas Negeri Sambut Ramadhan
“Sekiranya anggota atau pegawai polis mengesan individu cuba merentas negeri untuk balik ke kampung, tiada nasihat lagi…ambil tindakan terus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Satu Taman Satu Polis Dan Fokus Polis Diraja Malaysia Kontinjen Melaka 2021, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, pertambahan jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) juga akan dilakukan bergantung kepada jumlah harian kes positif Covid-19 yang dilaporkan dan setakat ini sebanyak 30 hingga 35 SJR dilaksanakan di setiap pintu keluar dan masuk serta sempadan negeri di seluruh negara.
Baca juga: Peraturan Cermin Gelap JPJ 2021 : Syarat, Prosedur & Permohonan
“Sekiranya jumlah kes positif Covid-19 meningkat, kita akan tambah SJR dalam usaha meminimumkan pergerakan individu atau kenderaan agar penularan Covid-19 dapat dikekang,” katanya.
*Sumber: BERNAMA