5 Perkara Tentang Vaksin Sinovac (CoronaVac) Yang Diketahui Setakat Ini

Seperti yang dimaklumkan, Vaksin COVID-19 jenis Sinovac akan tiba di Malaysia hari ini (Sabtu, 27 Februari 2021).

Ketibaan vaksin ini boleh disaksikan melalui siaran langsung Liputan Khas pada pukul 8 pagi.

Mungkin ramai nak tahu lebih lanjut tentang vaksin Sinovac dan apakah perbezaannya dengan vaksin Pfizer atau vaksin-vaksin lain.

Di sini kami kongsikan maklumat lanjut tentangnya.

5 Perkara Tentang Vaksin Sinovac Yang Diketahui Setakat Ini

1. China Adalah Negara Pengeluar Vaksin Ini

Perkara pertama ramai nak tahu ialah dari mana vaksin ini datang.

Vaksin COVID19 yang dikenali sebagai CoronaVac ini dikeluarkan oleh syarikat biofarmaseutikal, Sinovac, yang berpusat di Beijing, China.

Antara vaksin dari syarikat ini yang telah dikomersialkan termasuklah Healive (hepatitis A), Bilive (kombinasi hepatitis A and B), Anflu (influenza), Panflu (H5N1) dan PANFLU.1 (H1N1)

2. Pendaftaran Bersyarat Telah Diluluskan

Sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19
sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada 5
pengeluar vaksin COVID-19.

Daripada 5 pengeluar vaksin tersebut, vaksin daripada Pfizer-BioNTech telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021.

Malaysia telah meluluskan pendaftaran bersyarat Sinovac dan satu lagi vaksin keluaran Sweden, AstraZeneca, 2 Mac lalu.

3. Jenis Vaksin ‘Mati’ (Nyahaktif)

Berbanding dengan vaksin jenis lain, Sinovac diketahui menggunakan virus atau bakteria yang sudah dimatikan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menjelaskan bahawa vaksin jenis nyahaktif ini adalah vaksin yang dibuat dari mikroorganisme (virus, bakteria dan lain-lain) yang telah dimatikan dan digunakan untuk merangsang tindak balas imun manusia.

“CoronaVac adalah (jenis vaksin yang) lebih tradisional seperti yang digunakan dengan meluas seperti kebanyakan vaksin yang terkenal seperti Polio, Rabies dan JE.” menurut Associate Prof Luo Dahai dari Nanyang Technological University.

vaksin sinovac malaysia

4. Kelebihan Vaksin Sinovac

Menurut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, antara kelebihan vaksin Sinovac berbanding vaksin lain adalah :

  • Teknologi yang terbukti
  • Sesuai untuk mereka yang mempunyai imun yang lemah
  • Mudah dihasilkan

Selain itu, BBC juga melaporkan bahawa antara kelebihan vaksin jenis Sinovac ini adalah ia boleh disimpan dalam suhu peti sejuk biasa, berbanding vaksin Pfizer pada -70C dan Moderna pada suhu -20C.

Ini menjadikan vaksin jenis ini (dan vaksin Oxford Astra-Zeneca) lebih sesuai untuk negara membangun yang kurang fasiliti untuk menyimpan vaksin-vaksin yang banyak pada suhu yang sebegitu rendah.

5. Keberkesanan Vaksin Sinovac

Buat masa ini, peratusan keberkesanan vaksin masih dalam proses kajian klinikal kerana ia masih baru dan pelbagai faktor juga perlu diambil kira.

Ujian klinikal vaksin Sinovac telah dijalankan di banyak negara dengan lebih 36 juta dos vaksin Sinovac telah diberikan di China dan luar negara.

Secara umumnya, peratusan keberkesanan vaksin yang dilaporkan melalui JKJAV adalah seperti berikut:

  • Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech : 95%
  • Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Astra Zeneka : 62% – 90%
  • Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac : 50% – 91.25%
  • Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran Cansino : 65.7%
  • Vaksin Covid-19 Sputnik : 91.6%

Baca juga: Tindakan Boleh Dikenakan Jika Gagal Hadir Janji Temu Suntikan Vaksin

Negara Yang Menggunakan Vaksin Sinovac

Beberapa negara Asia seperti Singapura, Malaysia dan Filipina telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac, dan pada Januari 2021 Indonesia kempen vaksinasi kebangsaan secara besar-besaran dengan vaksin ini.

Antara negara yang menggunakan vaksin ini termasuklah juga Turki (untuk kegunaan kecemasan), Brazil dan Chile.

Sementara itu, UAE dan Bahrain pula memilih penggunaan vaksin Sinopharm yang dikeluarkan oleh China.

Adakah Kita Boleh Memilih Jenis Vaksin?

Menurut maklumat dalam MySejahtera, penerima vaksin tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang akan diterima.

Ianya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di pusat vaksinasi.

Namun, sebagai rakyat Malaysia kita tidak perlu risau kerana semua jenis vaksin ini telah melalui pelbagai proses yang sentiasa dipantau dalam aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

Setakat ini vaksin COVID-19 untuk Malaysia diberikan kelulusan bersyarat berdasarkan pematuhan piawaian ketat melalui penilaian data-data saintifik, klinikal dan teknikal.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menilai vaksin-vaksin yang hendak didaftarkan di Malaysia.

Manakala Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) akan meluluskan penggunaan vaksin tersebut untuk Malaysia berdasarkan hasil penilaian NPRA. Seterusnya, setiap kelompok vaksin yang akan digunakan di Malaysia dipantau dari aspek kepatuhan mengikut piawaian WHO.

Selepas vaksin mula diberikan kepada penduduk di Malaysia, pemantauan aduan
kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) dilakukan oleh pihak KKM.

Maklumat lanjut, sila rujuk PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: