Refinance Kereta: Cara Memohon & Tips Penting Yang Wajib Tahu
Refinance kereta atau pembiayaan semula pinjaman kenderaan biasanya dilakukan atas beberapa faktor, salah satunya ialah disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadapi oleh peminjam.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai refinance kereta, anda boleh baca perkongsian di bawah.
Apa Itu ‘Refinance’ Kereta?
Sebelum melangkah lebih jauh, anda perlu faham terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan refinance.
Refinance bermaksud pembiayaan semula pinjaman yang biasanya melibatkan hartanah/rumah dan juga kenderaan.
Refinance kereta adalah pembiayaan semula pinjaman kereta yang merujuk kepada urusan permohonan pinjaman baharu daripada pihak bank atau institusi kewangan untuk menjelaskan baki pinjaman kereta sedia ada.
Tujuan refinance kereta dilakukan biasanya adalah untuk mengurangkan amaun bayaran ansuran setiap bulan, memperbaiki aliran tunai semasa, mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah dengan tempoh masa pembayaran yang lebih lama dan sebagainya.
BACA JUGA: Refinance Rumah: Tips & Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu
Tips & Cara Memohon Pembiayaan Semula Kereta
1. Sediakan Dokumen Diperlukan
Dapatkan senarai dokumen yang diperlukan dan pastikan anda menyediakan segala dokumen yang disenaraikan sebaiknya sebelum membuat permohonan untuk melancarkan lagi urusan permohonan anda.
Antara senarai dokumen yang biasanya diperlukan ialah:
- Maklumat peribadi seperti kad pengenalan dan lesen memandu anda
- Perakuan pendapatan seperti slip gaji, surat pengesahan pekerjaan (proof of employment) atau borang penyata cukai pendapatan
- Maklumat pendaftaran kereta seperti geran, insurans, nombor VIN, dan jarak perbatuan (mileage)
- Butiran pinjaman sedia ada – jumlah bayaran bulanan dan baki semasa, tempoh bayaran, kadar faedah pinjaman sedia ada.
2. Semak Skor Kredit
Sama seperti apa-apa jenis pinjaman sekalipun, anda perlu mempunyai skor kredit yang baik untuk memudahkan kelulusan permohonan anda.
Oleh itu, sebelum meneruskan permohonan semak terlebih dahulu laporan kredit anda. Anda
boleh memeriksa skor kredit anda dengan merujuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta agensi-agensi lain yang berkaitan secara percuma.
3. Buat Permohonan & Bandingkan Beberapa Bank
Anda disyorkan untuk membuat permohonan daripada beberapa bank agar dapat membandingkan kadar faedah dan kelebihan yang ditawarkan sekaligus membantu anda mendapatkan pembiayaan baharu dengan kadar faedah yang lebih rendah dan kompetitif.
Pastikan juga anda mengemukakan kesemua permohonan pembiayaan semula pinjaman anda dalam tempoh yang sama iaitu sebaiknya dalam tempoh 14 hari agar tidak menjejaskan skor kredit anda kerana ia dianggap permohonan yang sama.
4. Buat Anggarkan Nilai Semasa Kenderaan
Anggaran nilai semasa kenderaan anda juga menjadi salah satu faktor yang akan menentukan permohonan refinance kereta anda diluluskan atau tidak. Sekiranya nilai semasa kenderaan anda lebih rendah daripada baki hutang anda, kemungkinan besar permohonan anda tidak dapat diluluskan.
5. Tentukan tempoh pinjaman
Anda boleh memilih tempoh pinjaman sama ada tempoh pinjaman yang panjang atau singkat.
Sekiranya anda memilih untuk melakukan tempoh pinjaman yang lebih singkat, anda boleh mendapat manfaat kadar faedah yang rendah dan masa pinjaman yang singkat.
Manakala, untuk tempoh pinjaman yang panjang, tempoh pinjaman boleh boleh dipanjangkan supaya bayaran ansuran bulanan menjadi lebih rendah. Namun, kadar faedah yang ditawarkan lebih tinggi.
6. Lengkapkan Proses Permohonan
Setelah mengikuti langkah-langkah & tips di atas, anda boleh lengkapkan permohonan anda untuk proses selanjutnya. Sekiranya terdapat kekeliruan, dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai bank atau mana-mana ahli yang pakar.
Kebaikan & Keburukan Refinance Kereta
Kebaikan | Keburukan |
Mengurangkan faedah pinjaman | Peningkatan hutang |
Mengurangkan faedah pinjaman | Kos Liabiliti |
Pelan pembiayaan dapat disesuaikan selari dengan kemampuan | Tempoh berhutang (pinjaman) menjadi panjang |
.