Refinance Rumah: Tips & Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu

Mungkin sebelum ini anda pernah terdengar perbualan rakan ataupun terbaca di mana-mana media sosial mengenai refinance rumah tetapi tidak begitu memahaminya. 

Jadi, sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai proses pembiayaan semula rumah serta tips dan perkara penting yang anda perlu tahu mengenainya, mari teruskan membaca. 

Apa Itu ‘Refinance’ Rumah?

Refinance Rumah

Re-finance rumah atau pembiayaan semula rumah adalah merujuk kepada proses pertukaran pinjaman perumahan sedia ada kepada pinjaman perumahan baru. Salah satu tujuannya adalah untuk  mendapatkan terma atau kadar faedah pinjaman yang lebih baik dan mengurangkan amaun bayaran ansuran bulanan.

Refinance rumah merupakan alternatif yang sering menjadi pilihan peminjam untuk membaiki aliran tunai terutamanya apabila menhadapi masalah kewangan.

Apabila anda berhasrat untuk melakukan refinance rumah, pastikan anda membuat pertimbangan sebaiknya sebelum meneruskan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan sehingga boleh menyebabkan kerugian. 

Tujuan Pembiayaan Semula Rumah

Antara tujuan pembiayaan semula rumah atau refinance rumah dilakukan adalah bertujuan untuk:

  • mendapatkan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah berbanding kadar faedah pinjaman sedia ada
  • memendekkan tempoh pinjaman sedia ada
  • memanfaatkan nilai pasaran hartanah terkini untuk membiayai pembelian hartanah baharu
  • menggabungkan hutang sedia ada atau penyatuan hutang
  • menukar produk kewangan berbeza (pinjaman gadai janji bertempoh tetap, fleksi atau separa fleksi).

BACA JUGA: Rumah Transit Bangsa Johor: Syarat Kelayakan & Cara Memohon

Tips Membuat Permohonan untuk Refinance Rumah Agar Lulus 

 Refinance Rumah

1. Sediakan Dokumen Diperlukan

Pastikan anda mengetahui dan menyediakan semua dokumen yang diperlukan sebelum mula membuat permohonan untuk melancarkan lagi proses permohonan anda. Anda boleh dapatkan senarai lengkap dokumen yang diperlukan daripada pihak bank. 

2. Semak Skor Kredit & Kelayakan Pinjaman

Jangan lupa semak skor kredit (Laporan CCRIS) sebelum melakukan permohonan. Skor kredit yang baik boleh membantu anda mendapatkan kadar faedah terbaik dan memudahkan permohonan anda diluluskan. 

Anda boleh semak skor kredit secara percuma dengan merujuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit atau agensi-agensi kewangan lain yang berkaitan.

Selain itu, sebelum memohon untuk refinance rumah, pastikan anda mengetahui sama ada anda masih layak atau tidak untuk mendapatkan pinjaman untuk mendapat gambaran jelas jika anda boleh membuat pinjaman refinance rumah atau tidak.

Anda boleh menggunakan aplikasi tertentu atau terus berurusan dengan pihak bank. 

3. Tinjau Harga Pasaran Rumah

Pastikan juga anda mengetahui anggaran harga pasaran rumah/hartanah anda sebelum memilih untuk refinance. Salah satu cara adalah dengan mencari rumah yang sama jenis pada lokasi yang sama, dengan menggunakan laman web hartanah.

Secara asasnya, pembiayaan semula pinjaman perumahan adalah keputusan yang terbaik untuk anda jika nilai hartanah semasa lebih tinggi daripada baki hutang.

4. Kos yang Perlu Ditanggung

Refinance rumah juga mempunyai kos-kos tersendiri antaranya moving cost. Moving cost adalah kos yang anda perlu tanggung bagi mendapatkan pinjaman baharu. Kos-kos ini termasuklah duti setem, yuran penilaian, yuran guaman, disbursement dan sebagainya. 

Oleh itu, pastikan anda mengira kos-kos yang perlu ditanggung sebelum membuat keputusan untuk melihat samada berbaloi atau tidak untuk anda refinance rumah.

Sekiranya anda melakukan pembiayaan semula untuk menjimatkan kadar faedah, bandingkan kos sedia ada dengan penjimatan faedah yang bakal diperoleh melalui pembiayaan semula sebelum buat keputusan.

5. Teliti Pakej Pembiayaan Semula Bank Lain

Walau dalam keadaan terdesak macam mana sekali pun, pastikan anda mengambil masa untuk meneliti pakej yang ditawarkan. Pilih beberapa buah bank yang menawarkan pakej refinance rumah dan buat perbandingan. 

Antara faktor yang boleh dipertimbangkan semasa memilih bank adalah kadar faedah, jenis pinjaman (fully-flexi atau semi-flexi), dan tempoh berkunci. Dapatkan khidmat nasihat pegawai bank sekiranya perlu. 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: