PSU 3.0: Permohonan Baharu Dilanjutkan Sehingga 31 Julai 2021
Menerusi kenyataan rasmi Perdana Menteri menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) 18 Januari 2021, pelaksanaan Program Subsidi Upah PSU 3.0 PERMAI melayakkan semua sektor kecuali sektor pelancongan dan peruncitan untuk menerima subsidi upah RM600 bagi setiap pekerja yang bergaji kurang dari RM4,000 untuk tempoh sebulan manakala bagi sektor pelancongan dan peruncitan, mereka layak menerima subsidi upah RM600 sebulan untuk tempoh sehingga enam bulan.
Permohonan Program Subsidi Upah 3.0 atau PSU 3.0 telah dibuka bermula 1 Januari 2021 untuk sektor pelancongan dan peruncitan, manakala penambahbaikan dalam PSU 3.0 PERMAI yang melibatkan semua sektor dibuka mulai 19 Januari 2021.
Terkini, dalam pengumuman pakej PEMERKASA, Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0) akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi bagi membolehkan majikan dalam sektor-sektor terbabit untuk menerima RM600 sebulan untuk setiap pekerja yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah.
Tarikh tutup permohonan PSU 3.0 adalah sehingga 31 Julai 2021 sebelum dilanjutkan dengan PSU 4.0 di bawah Program PEMULIH.
Berikut adalah maklumat lanjut tentang Program Subsidi Upah 3.0 PERMAI yang perlu anda tahu.
Apakah PSU 3.0 PERMAI?
Dikemaskini 5 Julai 2021 : Pelanjutan PSU 3.0 dan Tarikh permohonan PSU 4.0
PSU 1.0, PSU 2.0 dan PSU 3.0 adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.
Tujuan PSU ialah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan.
Menerusi Belanjawan 2021, Kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah untuk tiga bulan lagi dengan peruntukan RM1.5 bilion mulai 1 Januari 2021, manakala mulai 19 Januari 2021, ia turut diperluas kepada semua sektor di negeri PKP.
Tarikh Permohonan
PSU 3.0 PERMAI akan mula berkuatkuasa pada 19 Januari 2021.
Tarikh akhir permohonan adalah pada 31 Julai 2021.
Nota: PSU 4.0 akan dibuka mulai 1 Ogos 2021.
Baca juga: Cara Mohon Elaun Pindah Rumah Penjawat Awam (Beli Rumah LPPSA)
Syarat Kelayakan & Faedah PSU 3.0
Untuk makluman, beberapa syarat tambahan telah diletakkan bagi Program Subsidi Upah 3.0 / PSU PERMAI iaitu:
- PSU 3.0 dibuka untuk semua sektor di negeri yang terlibat dengan PKP
- Untuk syarat kelayakan majikan, sila rujuk jadual di bawah
Berikut adalah syarat kelayakan dan faedah PSU 3.0 yang diumumkan oleh PERKESO.
Cara Permohonan
Untuk memohon, sila ikuti langkah berikut:
- Permohonan Program Subsidi Upah 3.0 boleh dikemukakan secara online di Portal PRIHATIN di https://prihatin.perkeso.gov.my.
- Dokumen yang diperlukan adalah:
- Senarai nama pekerja (mengikut had kelayakan saiz perusahaan);
- Maklumat akaun bank majikan (salinan muka depan penyata bank sahaja);
- Maklumat Business Registration Number (BRN) yang didaftarkan oleh majikan ketika pembukaan akaun bank. Sila rujuk pihak bank dan memastikan No BRN dan No akaun adalah tepat bagi mengelakkan sebarang kesulitan;
- Salinan pendaftaran SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan; dan
- Akuan Pengisytiharan PSU3.0.
- *Akuan Pengisytiharan PSU3.0 ialah suatu dokumen pengesahan dan aku janji secara bertulis bahawa majikan mengesah atau mengisytiharkan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya adalah benar dan betul bagi tujuan permohonan PSU 3.0. Borang ini perlu diisi oleh semua majikan tanpa mengira saiz perusahaan dan sektor.
- Majikan akan menerima No. Rujukan sebaik sahaja permohonan lengkap telah diisi di laman sesawang prihatin.perkeso.gov.my dan boleh menyemak status permohonan menggunakan No. Rujukan yang diberikan.
- Senarai nama majikan yang diluluskan permohonan PSU juga akan dipaparkan di laman web PERKESO https://www.myfuturejobs.gov.my termasuk bilangan pekerja yang diluluskan.
Status / Makluman Terkini
PENGUMUMAN PENTING !
Majikan yang telah memohon PSU 3.0 (BELANJAWAN 2021, PERMAI atau PEMERKASA), mereka TIDAK PERLU mengemukakan permohonan baru bagi tuntutan 1 bulan lanjutan di bawah PEMERKASA+.
Tarikh akhir permohonan PSU3.0 telah dilanjutkan kepada 31 Julai 2021.
Maklumat Lanjut
Untuk info lanjut, sila hubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan PERKESO di talian 1-300-22-8000.
ATAU
Rujuk Soalan-soalan Lazim (FAQ) Program Subsidi Upah 3.0 PERMAI di SINI.