PKP 3.0 Tidak Tamat Esok, Fasa Pertama Terus Hingga Kes Bawah 4000

PKP 3.0 tidak tamat esok, (28 Jun) dan fasa pertama dilanjutkan terus sehingga nilai ambang kurang 4,000 kes.

Ia diumumkan oleh Perdana Menteri, menerusi laporan terkini oleh BERNAMA sebentar tadi.

Fasa 1 kawalan pergerakan kekal dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator yang digariskan dicapai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Perdana Menteri, ketiga-tiga indikator itu ialah meliputi jumlah kes harian, tahap sistem kesihatan awam dan kadar vaksinasi, seperti yang dinyatakan oleh Astro Awani dalam laporan susulan.

“Saya nak jelaskan sebab ada yang tidak berapa faham, bahawa mereka kata sekarang ni dah nak tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebagainya, tetapi mulai sekarang ini kita tak sebut PKP, kita sebut kita berada di fasa.

“Sekarang ini ialah fasa pertama dan fasa pertama ini sampai Julai, mungkin pertengahan dan sebagainya, jadi bukan kita kira 28 Jun, ada silap,” kata Perdana Menteri selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini pada Ahad.

Jelas Perdana Menteri lagi, fasa pertama ini akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan.

“Kita masih di fasa pertama dan fasa pertama ini kita akan lanjutkan sehingga mana kita telah mencecah nilai ambang.

“Ia termasuk kes di bawah 4,000, kes di ICU sudah turun dari paras tenat dan masalah vaksinasi yang akan ditingkatkan,” katanya.

Perdana Menteri menambah, peralihan fasa-fasa tersebut memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi.

Tegas Muhyiddin lagi, dalam masa sama, langkah-langkah untuk kawalan kepada masalah penyakit dan wabak masih berterusan.

“Umpamanya, di Selangor kita beri perhatian khusus kerana Selangor dilihat terkesan besar kerana kes-kesnya lebih 1,000, semalam 2,000 dan sebagainya.

“Jadi, sebab itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan (Menteri Kanan Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah umumkan kawasan-kawasan di Selangor akan diberikan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) yang lebih ketat di kawasan-kawasan yang diumumkan.

“Kenapa begitu, antara kes yang banyak berlaku ialah di Selangor seperti tempat kerja, kediaman ataupun dalam komuniti.

Banyak telah berlaku begitu, kalau kita nak menurunkan kadar kes ini kita perlu memberi perhatian dalam kawasan-kawasan sebegini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, beberapa langkah susulan lain dijangka dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kes di seluruh negara dapat diturunkan.

Baca juga: Kerajaan Akan Umum Pakej Bantuan Terbaru Pada Isnin Atau Selasa Ini – PM

pkp 3.0 dilanjutkan

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara, jangkaan Fasa berperingkat membolehkan sektor-sektor berfungsi dengan lebih menyeluruh seperti berikut:

Fasa 1 – PKP Menyeluruh, Perkhidmatan Perlu Sahaja (4000 kes ke atas)
Fasa 2 – Perlu Senarai Positif, Sektor Sosial kekal tutup (4000 kes ke bawah)
Fasa 3 – Pendekatan Senarai Negatif, Sektor Sosial dibuka Secara Berperingkat (2000 kes ke bawah)
Fasa 4 – Pembukaan penuh termasuk Sektor Sosial (500 kes ke bawah)

Baca juga: Tarikh Bayaran i-Sinar Julai 2021 (Bulan Terakhir Bagi Kategori 2)

Rujuk laporan asal oleh Astro Awani tentang PKP 3.0 yang dilanjutkan di sini: https://www.facebook.com/astroawani/posts/10158145119085965

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: