Tawaran RM25,00 Bagi Individu Yang Sukarela Dijangkiti Varian Delta
United Kingdom: Saintis di Kolej Imperial London dan Universiti Oxford, ingin menawarkan £4,500 (RM25,828) kepada setiap seorang seramai 40 orang peserta yang terpilih untuk dijangkiti virus COVID-19 varian Delta secara sukarelawan.
Dipetik daripada laporan Wall Street Journal, kajian khas yang dilakukan di makmal ini akan dimulakan dengan para peserta dijangkiti varian Delta dengan sengaja untuk tujuan mengenal lebih mendalam proses mutasi varian tersebut.
Selain itu, kajian ini dilakukan adalah untuk memperoleh lebih banyak maklumat tentang cara mengembangkan vaksin dan kaedah rawatan COVID-19 terbaharu dengan kerjasama syarikat hVIVO.
“Proses pengkulturan Delta lebih sukar daripada varian COVID-19 asli kerana mutasi yang mengubah struktur protein dan kultur virus. Walau bagaimanapun, penyelidik kami telah melipatgandakan jumlah yang cukup untuk memulakan kajian pada peringkat awal.” kata Ahli virologi dan Ketua Pegawai Saintis hVIVO iaitu Andrew Catchpole.
Dr. Garth Rapeport iaitu Pakar jangkitan virus pernafasan menjelaskan bahawa proses ini melibatkan kajian yang lebih rumit dan tidak sama dengan pengeluaran vaksin.
Di dalam proses ini nanti, para saintis perlu mencari jalan agar virus yang disebarkan tidak menghasilkan varian baru dan tidak bermutasi dalam jangka waktu tertentu.
Untuk kajian ini, para penyelidik mendorong individu yang berusia diantara 18 sehingga 30 tahun serta mempunyai risiko paling rendah dijangkiti COVID-19 untuk menjadi sukarelawan.
Mereka haruslah mempunyai tubuh badan yang sihat, tidak obesiti, tiada sejarah merokok dan juga tidak pernah dijangkiti Covid sebelum ini. Kesemua syarat dikenakan adalah untuk mengurangkan risiko kepada peserta.