‘Dentuman Kuat & Api Marak’, Ini Kronologi Pesawat TUDM Terhempas

BUTTERWORTH: Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikhuatiri terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth.

TUDM dalam satu kenyataan malam ini berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk pada jam 10.07 malam. Selasa, 16 November di kawasan landasan pangkalan berkenaan.

Dalam insiden tersebut, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di Butterworth, Selasa malam.

Kapten Mohamad Affendi Bustamy disahkan meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

pesawat tudm terhempas

Sementara itu, Mejar Mohd Fareez Omar dilaporkan mengalami kecederan berada dalam keadaan selamat dan stabil dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Bunyi deruan pesawat yang luar daripada kebiasaan dan diikuti dengan dentuman kuat mengejutkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan Pangkalan TUDM di Butterworth, Selasa malam.

Peniaga, Mastura Mohammad Nordin, 44 berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.07 malam itu membuatkan dia meluru melihat apa yang berlaku di landasan Pangkalan TUDM yang tidak jauh dari gerainya di Kampung Benggali, Sungai Puyu, di Butterworth.

Menurutnya, selepas mendengar dentuman kuat sebanyak dua kali dia melihat pesawat terbakar di atas landasan.

“Saya memang dah biasa dengan bunyi pesawat tetapi kali ini memang lain.

“Ketika ia hampir mendarat saya dengar dua dentuman sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat itu terhempas,” katanya ketika ditemui media berhampiran lokasi kejadian.

pesawat tudm terhempas

Keadaan sebuah pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang malam tadi boleh dilihat dalam gambar di bawah:



(Gambar terkini oleh K. Ganeson⁣ via BERNAMA)

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota yang terlibat dalam insiden itu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh TUDM, jenazah Mohamad Affendi sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya.

Berikut dikongsikan kenyataan rasmi dari TUDM berhubung insiden ini.

pesawat tudm terhempas

KRONOLOGI INSIDEN MEMBABITKAN PESAWAT PEJUANG HAWK TUDM SEJAK 1996

Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.

18 Jun 1996:
Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.

23 Julai 1996:
Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.

10 Sept 1998:
Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 yang dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.

2 Okt 2000:
Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.

18 Dis 2003:
Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.

23 Jun 2005:
Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbangnya.

4 Mei 2007:
Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.

15 Jun 2017:
Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.

16 Nov 2021:
Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban.

pesawat tudm terhempas

Sumber: Sinar Harian, BERNAMA, Majlis Keselematan Negara

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: