Bakal Didakwa, Peniaga Siakap Viral Gagal Lengkap Dokumen-KPDNHEP
Peniaga hidangan ikan ‘siakap kayangan’ di Langkawi, Kedah yang viral awal bulan ini dikhabarkan bakal didakwa mengikut Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga siakap terbabit telah gagal mengemukakan dokumen perniagaan lengkap dikehendaki kementeriannya mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau berkata, peniaga terbabit telah memberi kerjasama baik kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan lengkap dan terperinci.
“Sebelum ini tempoh penghantaran dokumen terperinci terbabit telah dilanjutkan bagi membolehkan peniaga itu membetulkan kesilapan tersebut.
Berkaitan:
- Terkejut Seekor Siakap Di Langkawi Berharga RM1196.80, Bil Keseluruhan RM1852.50!
- Viral Bil ‘Siakap Kayangan’ Harga RM1196, Giliran Pemilik Restoran Jelaskan Hal Sebenar
- Masa Ambil Order Tak Ada Cakap Ikan Show’, Seorang Lagi Pelanggan Restoran Siakap Luah Kekecewaan
“Begitupun, ia masih tidak dapat dipenuhi sehingga 17 November lalu. Kertas siasatan telah dibuka dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Taman Pengeluaran Makanan Peradong, Manir di sini hari ini.
Media sosial menjadi tular dengan hantaran ‘ikan siakap kayangan’ pada 4 November lalu setelah sekumpulan individu terkejut melaporkan mereka terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram (kg) di salah sebuah restoran dekat Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Rosol berkata, tindakan terbabit dikenakan ekoran kegagalan peniaga itu menyelenggara dan menyimpan rekod dengan wajar.
Jelasnya, peniaga itu akan didakwa Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau kompaun RM25,000 jika sabit kesalahan.
Sumber: K! ONLINE