Senarai Pelepasan Cukai 2022 Untuk e-Filing 2023
Apabila anda menepati syarat-syarat dan berada dalam kategori layak membayar cukai, anda perlu menunaikan tanggungjawab membayar cukai melalui sistem e-Filing LHDN.
Namun, usah risau. Terdapat beberapa perkara yang anda perlu ketahui untuk mendapat pelepasan cukai bagi mengurangkan jumlah cukai yang anda perlu bayar.
Secara ringkasnya, pelepasan cukai adalah amaun yang dibenarkan untuk tolakan kepada pendapatan yang akan dicukai.
Anda boleh buat rujukan senarai pelepasan cukai pendapatan untuk individu pemastautin 2022 tahun taksiran 2023 di bawah bagi membantu anda. Jom semak!
Senarai Pelepasan Cukai 2022 Untuk e-Filing 2023
Berikut adalah senarai pelepasan cukai terkini tahun taksiran 2022 bagi e-Filing 2023 yang boleh dituntut.
Jenis Potongan Individu Pelepasan Cukai Bagi Tahun Taksiran 2022 (e-Filing 2023)
1. Pelepasan Individu
- Individu dan saudara tanggungan : RM9000
- Individu kurang upaya : RM6000
- Suami atau isteri kurang upaya : RM5000
- Suami / isteri / alimoni kepada bekas istri : RM4000
- Yuran pengajian diri sendiri : RM7000
2. Gaya Hidup, Perubatan & Peralatan Berkaitan
- Rawatan perubatan keperluan khas dan Penjagaan ibu bapa : RM8000
- Peralatan alat sokongan khas : RM6000
- Gaya hidup : RM2500
- pembelian bahan bacaan
- pembelian komputer peribadi
- telefon pintar / internet
- pembelian peralatan sukan, bayaran keahlian gymnasium
- Tambahan RM2500 untuk pembelian komputer peribadi, telefon pintar dan tablet
- Tambahan gaya hidup RM500 berkaitan aktiviti sukan
- Pembelian peralatan sukan
- Sewaan / fi di mana-mana fasiliti sukan
- Fi pendaftaran penyertaan pertandingan
- Perbelanjaan melancong dalam negara : RM1000
- Penginapan di premis yang berdaftar
- Bayaran masuk ke pusat tarikan pelancongan
- Pembelian peralatan penyusuan : RM1000
- Pembayar cukai wanita sahaja
- Anak berumur kurang 2 tahun sahaja
- Tuntutan dibuat sekali setiap 2 tahun
- Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius & perbelanjaan rawatan kesuburan RM8000 (termasuk rawatan perubatan penuh, ujian pengesanan COVID19 dan vaksinasi yang dibenarkan terhad RM1000)
3. Pelepasan Anak
- Anak bawah 18 tahun : RM2000
- Anak 18 tahun ke atas : RM2000 (belum berkahwin / belajar sepenuh masa)
- Anak 18 tahun ke atas : RM8000 (belum berkahwin / belajar di IPT)
- Yuran taman asuhan kanak-kanak / tadika berdaftar : RM3000
- Anak kurang upaya : RM6000
- Tambahan bagi anak kurang upaya RM8000 (belajar di IPT – Diploma / ke atas)
4. Caruman / Sumbangan
- Insurans Nyawa dan KWSP *individu penjawat awam dan berpencen RM7000 atau
- Selain penjawat awam *insuran nyawa / takaful RM3000
- KWSP / Skim yang diluluskan : RM4000
- PERKESO : RM250
- Skim persaraan dan anuiti tertunda : RM3000
- Insuran perubatan dan pendidikan (individu / pasangan /anak) : RM3000
- SSPN (tabungan bersih) : RM8000
Tanggungjawab Pembayar Cukai
Setiap individu yang boleh dikenakan cukai dikehendaki melaporkan kesemua pendapatan kepada LHDNM. Pembayar cukai bertanggungjawab untuk:
- Mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)Pembayar cukai individu hendaklah menghantar secara e-Filing atau borang manual yang telah lengkap diisi pada atau sebelum;
i . Individu Pemastautin dan Bukan Pemastautin yang TIDAK menjalankan perniagaan: 30 April setiap tahun
ii. Individu Pemastautin dan Bukan Pemastautin yang Menjalankan Perniagaan:
30 Jun setiap tahun ke alamat berikut:
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Bahagian Pengurusan Rekod & Maklumat Percukaian
Jabatan Operasi Cukai
Menara Hasil Bangi
No. 3, Jalan 9/10, Seksyen 9
Karung Berkunci 222
43659 Bandar Baru Bangi
Selangor
- Melaporkan pendapatan dan perbelanjaan, termasuk potongan dan rebat.
- Mengira cukai pendapatan.
- Menyimpan rekod bagi tujuan pengauditan.
- Membayar cukai kena dibayar.
Anda boleh rujuk lebih lanjut di sini: https://www.hasil.gov.my/individu/kitaran-cukai-individu/lapor-pendapatan/pelepasan-cukai/
Adakah Saya Layak Dikenakan Cukai?
Individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM25,501 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
Namun, anda tidak semestinya akan dikenakan cukai.
Anggaran ‘paras maksima’ jumlah pendapatan tahunan (2021) yang masih tidak dikenakan cukai individu adalah seperti di bawah:
- DIRI SENDIRI : RM37,333 setahun @ RM3,111 sebulan
- BERKAHWIN + 1 ANAK : RM39,333 SETAHUN @ RM3,278 sebulan (Taksiran berasingan)
- BERKAHWIN + 2 ANAK : RM41,333 SETAHUN @ RM3,444 sebulan (Taksiran berasingan)
- BERKAHWIN + 0 ANAK : RM48,000 SETAHUN @ RM4,000 sebulan (Taksiran bersama)
- BERKAHWIN + 1 ANAK : RM50,000 SETAHUN @ RM4,167 sebulan (Taksiran bersama)
- BERKAHWIN + 2 ANAK : RM52,000 SETAHUN @ RM4,333 sebulan (Taksiran bersama)
Anggaran ini hanya mengambil kira tuntutan pelepasan individu, pasangan, bilangan anak & rebat individu + pasangan. Jika jumlah pendapatan tahun lepas anda melebihi ambang ini tetapi layak menuntut pelepasan yang lain & ada buat bayaran zakat pendapatan (bagi muslim), anda MUNGKIN juga masih tidak dikenakan cukai. Jadi buat semakan sekarang & kumpulkan semua bukti pelepasan yang hendak anda tuntut.
Lagi cepat anda hantar e-Filing, semoga cepat juga pulangan cukai oleh LHDN (jika ada).
ATAU;
Anda masih mempunyai masa menyediakan peruntukan bayaran cukai tambahan (jika perlu) sebelum tarikh akhir 30.4.2023** (eBE) / 30.6.2023 (eB)**. Dijangka penyediaan sistem eBE/eB TT2021 bermula 1.3.2023** depan.
**akan dikemaskini
- *Mulai Tahun 2010 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM26,501 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
- *Mulai Tahun 2013 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM30,667 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
- *Walau bagaimanapun, mulai Tahun 2015 individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
Sekiranya pekerja layak dikenakan potongan PCB, pekerja dinasihatkan mendaftar fail cukai pendapatan terlebih dahulu sebelum potongan PCB dibuat.
Apakah Yang Patut Saya Lakukan Jika Saya Layak Dikenakan Cukai?
Permohonan pendaftaran nombor rujukan cukai pendapatan boleh dilakukan di cawangan yang berhampiran.
Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran :
- Satu salinan Borang Penyata Pendapatan (Borang EA/EC) terkini / Slip Gaji terkini ;
- Satu salinan kad pengenalan/kad pengenalan polis/kad pengenalan tentera/passport antarabangsa
- Satu salinan sijil perkahwinan (jika ada).
Anda juga boleh membuat pendaftaran nombor rujukan cukai melalui e-Daftar.
Simpan Rekod Pelepasan Cukai 2022 & Tahun-tahun Sebelumnya
Pembayar cukai tidak perlu menghantar dokumen / resit asal berikut bersama BNCP, sebaliknya dokumen ini hendaklah disimpan selama 7 tahun:
- Borang EA/EC,
- Baucar dividen,
- Resit premium insurans,
- Resit pembelian buku,
- Resit perubatan,
- Resit derma,
- Resit pembayaran zakat,
- Sijil kelahiran anak,
- Sijil nikah,
- Dokumen-dokumen sokongan lain.
- Helaian kerja (jika ada)
- Pengiraan tempoh tujuh tahun adalah bermula dari akhir tahun dalam mana BNCP tersebut telah dikemukakan.
Sistem Taksir Sendiri
Sistem Taksir Sendiri adalah satu konsep Bayar, Taksir Sendiri dan Fail.
Bayar : Potongan gaji bulanan bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian atau melalui bayaran secara ansuran bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan perniagaan.
Taksir Sendiri: Membuat sendiri pengiraan cukai pendapatan.
Fail : Mengemukakan BNCP ke LHDNM dan bayaran baki cukai pendapatan jika terkurang bayar atau menuntut bayaran balik jika terlebih bayar.
Maklumat Lanjut & Pertanyaan
Sekiranya tuan/puan mengalami masalah atau pertanyaan tentang pelepasan cukai 2022 bagi e-Filing 2023, anda boleh menghubungi Hasil Care Line (rujuk di sini) atau mana-mana Cawangan LHDN terdekat untuk mendapatkan bantuan.